NAIROBI: Presiden Perancis Emmanuel Macron melawat wilayah luar negara Perancis, Mayotte, pada Khamis untuk menilai kemusnahan akibat Siklon Chido, lapor Agensi Anadolu (AA).

Siklon pada hujung minggu lepas mengorbankan sekurang-kurangnya 31 nyawa dan ribuan penduduk hilang tempat tinggal di kepulauan Perancis itu yang terletak antara timur Afrika dan Madagascar, namun jumlah korban dikhuatiri meningkat.

Macron menaiki helikopter untuk meninjau pulau utama sebelum tiba di Hospital Pusat Mayotte di ibu kota Mamoudzou bagi bertemu mangsa serta petugas kesihatan.

Menurut laporan stesen berita utama di Mayotte, Kwezi TV, seorang kakitangan hospital melaungkan: "Kami perlukan air," ketika Presiden memasuki kemudahan itu.

Macron disambut oleh Prefect Francois-Xavier Bieuville, Water Prefect Gilles Cantal yang kembali dari persaraan untuk membantu usaha bantuan, dan Sub-Prefect Frederic Sautron dari Reunion - sebuah lagi wilayah kepulauan Perancis di Lautan Hindi - yang dihantar sebagai bantuan tambahan.

Ketika bertemu mangsa di lapangan, laporan Kwezi TV menceritakan detik emosi apabila seorang wanita merayu kepada Macron.

"Tolong jangan pergi terlalu cepat," katanya sambil menambah: "Kami hanya boleh membayar secara tunai. Apa yang akan kami makan?" Macron, yang kelihatan tersentuh, meletakkan tangannya di bahu wanita itu.

Siklon itu menyebabkan kemusnahan besar, terutamanya di kawasan penempatan tidak formal, dan merosakkan infrastruktur penting.

Pihak berkuasa di Mayotte bimbang jumlah korban akibat Taufan Chido boleh mencecah ribuan orang, ketika operasi menyelamat diteruskan di kawasan yang paling terjejas.

Pegawai belum mengeluarkan angka rasmi, memetik kesukaran untuk memasuki kawasan terpencil yang dilanda siklon itu.

-- BERNAMA