Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengekalkan keputusannya sebelum ini untuk menolak permintaan itu, memetik "alasan yang sama" seperti keputusan hari sebelumnya, kata seorang pegawai pendakwaan.
Pasukan pendakwaan khas mengemukakan permohonan baharu kepada mahkamah untuk melanjutkan waran itu sehingga 6 Februari, tetapi mahkamah menolaknya, menyatakan bahawa ia tidak melihat keperluan bagi pihak pendakwaan untuk "melengkapkan" siasatan, yang telah diketuai oleh agensi antirasuah itu.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) memindahkan kes itu kepada pihak pendakwaan awal minggu ini, kerana agensi itu tidak mempunyai mandat undang-undang untuk mendakwa seorang presiden.
Meminta lanjutan itu, pendakwa raya memetik keperluan untuk meneruskan siasatan, termasuk soal siasat secara peribadi terhadap Yoon, kerana presiden sebahagian besarnya enggan bekerjasama dengan siasatan itu.
Penolakan mahkamah itu meletakkan pendakwa raya dalam dilema untuk memutuskan sama ada akan mendakwanya sebelum tarikh pelepasan Yoon pada Isnin. Besar kemungkinan pendakwa raya akan mendakwa presiden itu pada Ahad.
Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang menyiasat Yoon atas dakwaan menjadi dalang di sebalik pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Dis, yang telah mencetuskan krisis politik di negara itu.
Yoon berdepan kemungkinan tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa kerana didakwa bersekongkol dengan Menteri Pertahanan ketika itu Kim Yong-hyun dan lain-lain untuk memulakan rusuhan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera dan mengerahkan tentera ke parlimen untuk menghalang penggubal undang-undang daripada mengundi menolak dekri itu.
Yoon telah dipenjarakan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara, sejak ditangkap secara rasmi pada 19 Dis.
Perbicaraan Mahkamah Perlembagaan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada untuk mengekalkan atau menolak pendakwaan terhadap beliau oleh parlimen.
Walaupun Yoon telah hadir untuk perbicaraan pemecatannya di mahkamah tertinggi itu, pasukan peguamnya berhujah bahawa siasatan CIO terhadapnya adalah cacat dari segi undang-undang, menggesa pembebasannya segera.
"Siasatan CIO itu sendiri adalah haram dan pada asasnya terbatal dan tidak sah," kata peguamnya, Yun Gap-geun kepada pemberita pada taklimat media awal hari itu. "Sebaik-baiknya mereka menghentikan semua percubaan untuk menjatuhkan presiden."
-- BERNAMA