Dalam kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar menekankan bahawa sebarang kelewatan atau penyimpangan daripada perjanjian itu berisiko memburukkan krisis kemanusiaan dan menjejaskan usaha berterusan ke arah keamanan yang adil serta berkekalan.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra turut menggariskan kepentingan mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui bagi memastikan pemberhentian permusuhan serta penghantaran bantuan kemanusiaan penting ke Gaza tanpa sebarang halangan.
"Malaysia turut menegaskan perlunya usaha antarabangsa yang berterusan bagi memastikan gencatan senjata membawa kepada penyelesaian mampan dan menjunjung hak serta maruah rakyat Palestin.
"Jalan ke arah keamanan yang berkekalan mesti merangkumi penamatan sekatan dan pendudukan, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," menurut Wisma Putra.
Sementara itu, Malaysia menggesa semua pihak untuk memastikan kelancaran penghantaran bantuan tanpa halangan, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan Resolusi 2735 (2024) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Kementerian itu menyatakan bahawa situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal dengan lebih dua juta penduduk memerlukan bantuan segera.
"Bantuan kemanusiaan mesti sampai kepada mereka yang terjejas tanpa sebarang halangan atau syarat politik.
"Bantuan kemanusiaan juga mesti bersifat neutral, tidak berpihak dan bebas daripada campur tangan politik," menurut Wisma Putra.
Malaysia turut menegaskan sokongannya terhadap keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.
Sekatan dan gangguan gencatan senjata baru-baru ini berlaku selepas fasa pertama selama 42 hari, yang bermula pada 19 Jan, berakhir tanpa sebarang kemajuan ke fasa seterusnya.
Kebuntuan itu menyebabkan Israel menghentikan bantuan ke Gaza pada 2 Mac, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan, menurut laporan media antarabangsa.
-- BERNAMA
