LONDON: Malaysia perlu bersifat adaptif, berdaya tahan, berprinsip, dan mempunyai pandangan yang jelas untuk memposisikan negara di tengah-tengah arus ketidaktentuan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu suatu keperluan kerana kedudukan negara yang kritikal dalam rantaian bekalan global serta laluan perdagangan maritim.

“Pertama sekali, Malaysia akan terus komited untuk memupuk pertumbuhan yang dikongsi bersama, memperkukuh kerjasama serantau, dan mengekalkan keterbukaan kita terhadap perdagangan, pembangunan, dan perniagaan.

“Ini akan melibatkan pendekatan yang inklusif dan mampan terhadap keamanan dan keselamatan di rantau terdekat kita, dan seterusnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics di sini pada Jumaat.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri menambah Malaysia akan berusaha meremajakan mekanisme utama seperti ASEAN Plus Three dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Anwar menjelaskan, kedua-duanya telah diiktiraf kerana kuasa pengumpulannya, tetapi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sidang Kemuncak Asia Timur adalah satu-satunya forum serantau yang khusus untuk isu-isu strategik dan keselamatan di rantau kita yang dikendalikan oleh para pemimpin, dan di mana kuasa-kuasa yang bersaing bertemu dalam suasana neutral,” katanya.

Tegas Anwar lagi, Malaysia tidak mahu terjebak dengan pertikaian kuasa-kuasa besar, sebaliknya lebih suka bekerjasama dengan negara-negara anggota yang sehaluan dan rakan dialog.