Ringkasan AI
- Komitmen Dialog Keamanan: Malaysia dan Thailand berkomitmen untuk meneruskan dialog keamanan bagi menyelesaikan isu di wilayah Selatan Thailand. Manfaat Ekonomi: Keamanan di wilayah tersebut dijangka membawa manfaat ekonomi besar kepada kedua-dua negara, termasuk pembangunan Selatan Thailand dan Utara Malaysia. Kerjasama Infrastruktur: Kedua-dua negara akan bekerjasama dalam pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan landasan kereta api untuk memudahkan perdagangan dan interaksi rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keamanan di wilayah berkenaan akan memberi limpahan ekonomi yang besar kepada kedua-dua negara.
“Kita komited sepertimana yang telah ditekankan kepada kepimpinan Thailand kini dan sebelumnya, bahawa kita akan lakukan apa sahaja yang perlu untuk pastikan proses dialog dengan wilayah Selatan Thailand terlaksana.
“Kemudian diteruskan dengan Pelan Komprehensif ke arah Keamanan (JCPP). Seperti yang dipersetujui, pertamanya untuk jamin keamanan. Keduanya, untuk membangunkan Selatan Thailand dan Utara Malaysia. Wilayah Selatan Thailand memerlukan pelaburan khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra sempenan lawatan rasmi ketua pentadbiran Negara Gajah Putih itu ke Malaysia, pada Isnin.
Paetongtarn dalam kenyataan balasnya turut menekankan kepentingan menyelesaikan isu-isu berbangkit di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk soal pembangunan infrastruktur bagi menggalakkan aktiviti perdagangan sesama rakyat.
“Dalam aspek ekonomi, kita akan beri tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan dalam perhubungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan.
“Berkaitan sempadan, kami bincangkan keperluan untuk menyelesaikan beberapa isu yang didepani kedua-dua negara.
“Kami akan bekerjasama untuk pastikan jaringan jalan raya dan landasan kereta api yang lebih baik bagi memudahcara perdagangan dan interaksi sesama rakyat,” ujarnya.
Sebelum itu, Perdana Menteri Paetongtarn yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberi majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini, hari ini.
[LANGSUNG] Sidang Media Lawatan PM Thailand ke Malaysia | 16 Dis 2024