Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata ekstremisme agama boleh mengancam struktur masyarakat pelbagai etnik yang aman, dan konflik dari tempat lain boleh merebak ke rantau ini jika tidak dibendung.
"Jika anda melihat kepada demografi ASEAN, terdapat beberapa negara majoriti Islam seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei dengan kira-kira 250 juta orang Islam dan kedua adalah Buddha dengan kira-kira 205 juta.
"Kedua-dua komuniti ini mempunyai peranan yang dominan untuk dimainkan ke arah menggalakkan keharmonian di rantau ini dan pemimpin kedua-dua agama ini mempunyai tanggungjawab moral untuk mewujudkan budaya harmoni di rantau ini," kata ahli Majlis Tertinggi Liga Muslim Sedunia Wan Mohamad kepada Bernama di luar "Sidang Kemuncak Islam-Buddha" di Phnom Penh hari ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa ketegangan geopolitik di bahagian lain di dunia boleh mempengaruhi sentimen agama di Asia Tenggara.
"Ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh elak dan perlu diterima sebagai realiti. Sebagai contoh, bagaimana umat Islam bertindak balas terhadap isu Palestin, mengenai pembunuhan beramai-ramai yang sedang dilakukan. Sebab itu kita mesti pastikan tiada kumpulan ekstremis kerana ia boleh merosakkan keharmonian dan membawa kepada kezaliman," kata Wan Mohamad yang juga Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia.
Kira-kira 200 delegasi dari 30 negara menghadiri Sidang Kemuncak Islam-Buddha yang pertama kali diadakan di Kemboja, anjuran Liga Muslim Sedunia.
Bercakap pada majlis perasmian, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata Kerajaannya telah menjadi peneraju dalam mempromosikan keharmonian agama.
Mempromosikan keharmonian agama juga berakar umbi dalam Parti Rakyat Kemboja (CPP) dan setiap kerajaan di bawah CPP telah mengikut prinsip yang sama.
"Negara, Agama, Raja," ialah moto kebangsaan Kemboja, dengan agama Buddha ditetapkan sebagai agama negera di bawah Perlembagaan. "Walau bagaimanapun, ia adalah satu kebanggaan besar dalam pengiktirafan Liga Muslim Sedunia terhadap komitmen Kemboja terhadap perpaduan, toleransi, bukan ekstremisme dan keharmonian agama.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Liga Muslim Sedunia kerana membantu menganjurkan sidang kemuncak ini, yang merupakan kali pertama dalam sejarah bahawa acara penting dan bermakna di peringkat global dalam konteks Islam diadakan di Kemboja," kata Manet.
Menteri Kanan yang Bertanggungjawab bagi Misi Khas Hal Ehwal Islam Kemboja Dr Othsman Hassan berkata Kemboja sejak berakhirnya konflik sivil pada awal 1990-an telah terbukti sebagai masyarakat yang sangat bertolak ansur dengan agama.
"Kemboja akan dianggap oleh seluruh dunia sebagai negara contoh dalam menyediakan keharmonian etnik dan agama yang lengkap kepada rakyatnya, tanpa sebarang diskriminasi kaum atau agama, manakala banyak negara lain tidak dapat berbuat demikian.
"Penganut Islam di Kemboja kira-kira lima peratus manakala 93 peratus beragama Buddha dan selebihnya menganut agama lain. Mereka semua telah hidup dalam solidariti dan toleransi. Ini adalah bukti kemajuan agama di Kemboja dan kewujudan bersama yang positif," kata Othsman, yang juga ahli Majlis Tertinggi Liga Muslim Sedunia.
-- BERNAMA
