Andrew Gwynne, MP bagi kawasan Gorton dan Denton, telah dipecat daripada jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan digantung keahliannya dalam Parti Buruh.
Akhbar The Mail on Sunday melaporkan bahawa Gwynne membuat kenyataan seksis terhadap Angela Rayner, komen berbaur perkauman terhadap MP Buruh Diane Abbott, serta bergurau mengenai kematian seorang wanita tua dalam kumpulan sembang tertutup yang dianggotai ahli parti Buruh di Manchester.
Difahamkan, Starmer bertindak segera memecat Gwynne sebaik sahaja mengetahui mengenai mesej berkenaan.
Dalam hantaran di platform X, Gwynne berkata: "Saya amat menyesali komen yang sangat tersilap dan memohon maaf atas sebarang kesalahan yang ditimbulkan. Saya telah berkhidmat untuk Parti Buruh sepanjang hidup saya dan ia merupakan satu penghormatan besar dilantik sebagai menteri oleh Keir Starmer.
Saya memahami sepenuhnya keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri dan parti, dan walaupun sedih kerana digantung, saya akan terus menyokong mereka dalam apa jua cara."
Jurucakap kerajaan berkata Starmer bertekad menegakkan standard tinggi dalam pentadbiran awam dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana menteri yang gagal memenuhi piawaian berkenaan seperti dalam kes ini.
Sementara itu, jurucakap Parti Buruh mengesahkan keahlian Gwynne dalam parti itu telah digantung sementara siasatan dijalankan mengikut peraturan parti.
Parti Konservatif pula menyifatkan kenyataan Gwynne sebagai bukti terdapat "kepincangan" dalam Parti Buruh.
"Terdapat penghinaan jelas terhadap golongan pesara dalam Parti Buruh. Ini bukan sekadar mengenai Andrew Gwynne tetapi masalah lebih besar dalam parti yang perlu diperbetulkan," kata Pengerusi Bersama Parti Konservatif, Nigel Huddleston.
"Andrew Gwynne tidak sepatutnya kekal sebagai ahli Parti Buruh - mereka perlu bertindak segera."
--BERNAMA-dpa
TAG: UK, Keir Starmer, MP, pecat, WhatsApp, komen
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)