"Lima peratus daripada KDNK kita bersamaan 42 peratus daripada belanjawan Persekutuan Jerman, iaitu setiap dua euro yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan, berjumlah EUR230 bilion (US$238 bilion). Kita tidak mampu menampung atau membelanjakan jumlah sebanyak itu," katanya kepada akhbar Tagesspiegel.
Pistorius menegaskan bahawa Jerman mesti menyumbang kepada keupayaan pertahanan NATO mengikut kemampuannya, dan itulah yang akan dilakukan negara itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa Jerman perlu meningkatkan perbelanjaannya pada masa hadapan, melebihi dua peratus daripada KDNK, kadar yang diperuntukkan oleh Kerajaan Jerman ketika ini.
Namun, beliau menekankan bahawa sebarang keputusan dalam NATO dibuat secara kolektif.
Trump sebelum ini mencadangkan negara anggota NATO meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada KDNK.
Pada Sidang Kemuncak NATO di Vilnius pada 2023, negara anggota bersetuju untuk membelanjakan sekurang-kurangnya dua peratus daripada KDNK mereka untuk pertahanan. Pada masa ini, 23 daripada 32 negara anggota NATO telah mencapai atau melebihi paras 2 peratus itu.
-- BERNAMA