KAHERAH: Mesir mengesahkan bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak tergempar Arab pada 4 Mac bagi membincangkan pelan pemulihan Semenanjung Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin.

Menurut Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan, sidang kemuncak yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 27 Februari ditangguhkan ke 4 Mac bagi melengkapkan persiapan logistik.

Tarikh baharu ditetapkan dengan kerjasama Bahrain, selaku pengerusi semasa Liga Arab, dan selepas rundingan dengan negara-negara Arab.

Sidang kemuncak itu diadakan susulan cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengambil alih Gaza.

Antara lain, memindahkan penduduk Palestin di wilayah lain, dengan menyatakan hasrat membangunkannya sebagai “Riviera Asia Barat”.

Pada Ahad, Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi mengesahkan negaranya sedang merangka pelan pemulihan Gaza secara menyeluruh tanpa memindahkan rakyat Palestin.

Cadangan Trump untuk memindahkan rakyat Palestin itu ditolak oleh dunia Arab serta banyak negara lain.

Langkah itu turut disifatkan sebagai satu bentuk pembersihan etnik.

Idea kontroversi itu muncul di tengah-tengah gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Januari.

Usaha itu menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan hampir 48,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu.