Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir pada Ahad, sidang kemuncak yang dijadualkan berlangsung di Kaherah itu diadakan selepas rundingan dengan Bahrain serta Presiden Liga Arab ketika ini.
Keputusan untuk menganjurkan sidang kemuncak itu dibuat berdasarkan rundingan dan penyelarasan Mesir di peringkat tertinggi bersama negara-negara Arab sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk Palestin yang meminta sidang ini diadakan bagi membincangkan perkembangan kritikal berkaitan perjuangan negara itu," menurut kenyataan terbabit.
Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan rakyat Palestin mendirikan negara mereka di Arab Saudi dan bukan di tanah air sendiri, sekali gus menolak sebarang usaha ke arah kedaulatan Palestin.
Arab Saudi pada Ahad mengutuk keras kenyataan Netanyahu.
Pada 4 Februari, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan kemarahan apabila mencadangkan Washington untuk "mengambil alih" Gaza dan menempatkan semula rakyat Palestin di lokasi lain sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan semula.
Cadangan Trump itu menerima kecaman meluas daripada rakyat Palestin, negara-negara Arab serta masyarakat antarabangsa, termasuk Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/71728293049_freesize.jpg)