Sheinbaum berkata, pelan ekonomi pentadbirannya yang dirancang untuk merancakkan ekonomi Mexico turut bertujuan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Mexico yang mungkin terpaksa kembali dari Amerika Syarikat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif "Plan Mexico," strategi Sheinbaum untuk memperkukuh sektor perindustrian negara itu mendapat sokongan daripada Majlis Penyelarasan Perniagaan - blok perniagaan terbesar di Mexico yang mewakili lebih 2,000 organisasi serta hampir 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - yang telah berikrar untuk mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Mexico yang kembali.
"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Majlis Penyelarasan Perniagaan dan sentiasa berkomunikasi, baik dengan majlis yang dibentuk untuk Pelan Mexico mahupun dengan Majlis Penyelarasan Perniagaan secara amnya.
"Kami berterima kasih atas tawaran mereka untuk menyediakan hampir 35,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Mexico yang mungkin dihantar pulang dari Amerika Syarikat. Peluang ini meliputi pelbagai sektor, termasuk pembuatan," kata Sheinbaum.
"Plan Mexico" merupakan tindak balas Sheinbaum terhadap cabaran yang timbul akibat dasar Trump.
Inisiatif itu bertujuan meletakkan Mexico antara 10 ekonomi teratas dunia, meningkatkan pelaburan tahunan kepada lebih 25 peratus daripada KDNK, mewujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan tambahan, dan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus barangan serta bekalan dibuat di Mexico.
Pengusiran di bawah dasar Trump tidak terhad kepada rakyat Mexico sahaja.
Sebagai negara transit, Mexico telah menempatkan pencari suaka daripada pelbagai kewarganegaraan, yang menimbulkan kebimbangan bahawa jutaan pendatang boleh dihimpit ke wilayah Mexico. - BERNAMA