SINGAPURA: Penunggang dan pembonceng motosikal terbabit dalam 55.2 peratus daripada keseluruhan kemalangan jalan raya serta menyumbang 59.9 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Singapura tahun lalu, menurut statistik dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat.

Kira-kira 44.7 peratus daripada jumlah kematian itu berpunca daripada kemalangan motosikal akibat tergelincir sendiri.

Jumlah kemalangan membabitkan motosikal meningkat daripada 3,792 kes pada 2023 kepada 3,969 kes pada 2024.

Bilangan mangsa dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal turut meningkat sebanyak 4.7 peratus, daripada 4,303 orang (2023) kepada 4,507 orang (2024), manakala jumlah kematian meningkat sebanyak 25 peratus, daripada 68 orang (2023) kepada 85 orang (2024).

Motosikal hanya membentuk 14.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di Singapura pada 2024.

Sementara itu, tabiat melintas jalan secara melulu terus menjadi kebimbangan, dengan jumlah kemalangan membabitkan pejalan kaki yang melintas secara melulu meningkat sebanyak 23 peratus, daripada 288 kes (2023) kepada 353 kes (2024).

Bilangan mangsa dalam kalangan pejalan kaki yang melintas secara melulu turut meningkat sebanyak 26 peratus, daripada 283 orang (2023) kepada 356 orang (2024), manakala jumlah kematian meningkat daripada 16 kes (2023) kepada 18 kes (2024).

"Pejalan kaki warga emas (berumur 65 tahun ke atas) terus menjadi kumpulan yang paling terjejas, merangkumi 38.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian membabitkan pejalan kaki yang melintas secara melulu pada 2024," menurut SPF.

Secara keseluruhan, jumlah kemalangan jalan raya meningkat tahun lalu berbanding 2023.

Jumlah kemalangan maut meningkat daripada 131 kes (2023) kepada 139 kes (2024), manakala jumlah kematian meningkat daripada 136 orang (2023) kepada 142 orang (2024), masing-masing tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Bagi menangani peningkatan jumlah kemalangan dan kematian, SPF memaklumkan bahawa Polis Trafik (TP) akan mempergiat operasi penguatkuasaan dan mengenakan tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.

Pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas seperti tidak mematuhi lampu isyarat merah, memandu laju serta memandu di bawah pengaruh alkohol boleh didakwa di mahkamah.

Jika kesalahan itu menyebabkan kecederaan parah atau kematian, mereka boleh dikenakan hukuman penjara serta hilang kelayakan untuk memandu.

TP juga akan menaikkan kadar denda kompaun antara S$50 dan S$150, manakala mata demerit akan meningkat sehingga enam mata.

"Hukuman lebih berat ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026. Butiran lanjut mengenai perubahan ini akan diumumkan dalam tahun ini," menurut SPF.

-- BERNAMA