BANGKOK: Perdana Menteri Thailand menggunakan pengaruh bintang antarabangsa, iaitu peragawati terkemuka Naomi Campbell, untuk membantu mempertingkatkan ekonomi negara itu.

Paetongtarn Shinawatra mengalu-alukan legenda pentas peragaan British itu ke Pejabat Perdana Menteri di Bangkok bagi membincangkan cara membantu membangunkan industri fesyen Thailand.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Isnin, Campbell berkata beliau bersedia untuk menyokong usaha untuk meningkatkan kemahiran masyarakat Thai dalam industri berkenaan, dengan berkongsi pengetahuan dan kepakarannya.

Paetongtarn menerajui usaha untuk mempromosikan apa yang dipanggil soft power Thailand, yang didefinisikan sebagai keupayaan negara itu untuk memberi pengaruh kepada dunia melalui aspek budaya.

Industri pakaian dan fesyen adalah antara tunggak utama strategi tersebut.

Jawatankuasa Kebangsaan melaporkan pada Disember lalu bahawa terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenama tempatan bagi membantu industri merealisasikan potensi ekonomi sepenuhnya di luar negara.