TEL AVIV: Benjamin Netanyahu akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Washington, pada Selasa ini, menurut pengesahan dari Pejabat Perdana Menteri Israel.

Ini menjadikan Netanyahu sebagai pemimpin dunia pertama yang mengadakan pertemuan rasmi dengan Trump sejak pelantikannya.

"Kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu Gaza, tebusan, cabaran yang ditimbulkan oleh semua elemen paksi Iran serta isu-isu utama lain," kata pejabat Netanyahu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Dalam satu langkah yang menyimpang daripada kebiasaan, Trump telah menjemput beberapa pemimpin dunia ke majlis pelantikannya pada 20 Januari, termasuk Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Namun, beliau masih belum mengadakan pertemuan rasmi dengan mana-mana pemimpin dunia sejak memulakan penggal keduanya.

Pengumuman pertemuan ini dibuat beberapa jam selepas pusingan terbaharu pembebasan tebusan dan tahanan di bawah perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas.

Seorang lelaki Israel-Amerika dan dua lelaki Israel lain telah dibebaskan daripada tahanan sebagai pertukaran bagi pembebasan hampir 200 tahanan Palestin pada Sabtu.

Pertemuan ini juga berlangsung selepas Trump mencadangkan rancangan untuk Semenanjung Gaza iaitu untuk "membersihkan" wilayah itu dan memindahkan ratusan ribu rakyat Palestin ke negara-negara jiran- idea yang telah ditolak keras oleh kumpulan utama negara-negara Arab. - Agensi