Laporan pada Jumaat menyebut bahawa seorang penggodam mendakwa telah memperoleh maklumat log masuk bagi 20 juta akaun OpenAI, termasuk kata laluan dan alamat e-mel.
Dakwaan itu dibuat dalam sebuah forum penggodaman, di mana individu berkenaan menyediakan sampel data yang didakwa diperoleh dan menawarkan untuk menjual keseluruhan maklumat tersebut.
Kesahihan dakwaan itu masih belum disahkan, namun dalam satu kenyataan, OpenAI menyatakan pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.
"Kami mengambil dakwaan ini dengan serius," kata jurucakap OpenAI.
"Kami belum menemukan sebarang bukti yang menunjukkan ini berkaitan dengan kompromi sistem OpenAI setakat ini."
Firma kecerdasan buatan (AI) itu adalah pembangun ChatGPT, chatbot AI yang meraih populariti tinggi sejak pelancarannya pada penghujung 2022.
Pakar keselamatan siber, Jamie Akhtar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama CyberSmart, menasihatkan pengguna supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengemas kini kata laluan serta kelayakan log masuk, selain memberi amaran bahawa penjenayah siber mungkin akan mengambil kesempatan terhadap insiden ini.
"Jika disahkan, insiden ini boleh membawa kesan besar, bukan sahaja kepada OpenAI tetapi juga kepada pelanggannya," katanya.
"Berjuta-juta individu dan perniagaan telah mengintegrasikan teknologi syarikat ini dalam kehidupan harian mereka, justeru sebarang kerosakan terhadap reputasi OpenAI dalam aspek keselamatan data boleh menjadi signifikan.
"Lebih buruk lagi, akaun yang dikompromi boleh digunakan untuk mengakses dan menyalahgunakan data sensitif pelanggan atau mengeksploitasi API OpenAI untuk menyebarkan perisian hasad serta ancaman siber lain.
"Terdapat juga kemungkinan penjenayah siber menggunakan kelayakan pengguna yang dicuri untuk melancarkan serangan pancingan data yang disasarkan, mencuri identiti atau melakukan penipuan kewangan.
"Meskipun pencerobohan ini masih belum disahkan oleh OpenAI, sesiapa yang menggunakan platform ini digalakkan untuk mengemas kini kata laluan serta kelayakan log masuk mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
"Sekiranya belum berbuat demikian, aktifkan pengesahan pelbagai faktor dalam tetapan OpenAI kerana langkah ini dapat memberikan lapisan perlindungan tambahan sekiranya kata laluan anda telah dikompromi," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)