Dalam surat kepada peguam Musk Marc Toberoff, peguam OpenAI William Savitt berkata lembaga OpenAI telah menyemak cadangan itu dan mendapati bahawa tawaran Musk "sebenarnya bukan satu tawaran sama sekali."
"Cadangan ini, walaupun seperti yang pertama kali dikemukakan, bukan untuk kepentingan terbaik misi OAI (OpenAI, Inc.) dan ditolak," tulis Savitt. "Keputusan lembaga OAI dalam perkara ini adalah sebulat suara."
Pengerusi OpenAI Bret Taylor dalam satu kenyataan menegaskan bahawa syarikat itu "bukan untuk dijual."
"Sebarang penyusunan semula OpenAI yang berpotensi akan mengukuhkan lagi organisasi tidak berasaskan keuntungan kami dan misinya untuk memastikan kecerdasan am buatan (AGI) memberi manfaat kepada semua manusia," katanya.
Pasukan pelabur yang diketuai Musk pada Isnin telah menyerahkan bidaan US$97.4 bilion untuk membeli organisasi tidak berasaskan keuntungan yang mengawal OpenAI.
Pasukan itu menggambarkan langkah itu sebagai usaha untuk memfokus semula OpenAI kepada AI sumber terbuka.
"Sudah tiba masanya untuk OpenAI kembali menjadi kuasa sumber terbuka yang berfokus pada keselamatan demi kebaikan. Kami akan memastikan ia berlaku," kata Musk dalam satu kenyataan.
Musk mengasaskan OpenAI pada 2015 bersama Sam Altman dan beberapa individu lain tetapi meninggalkannya pada 2018. Pada November 2024, pasukan guaman Musk memfailkan permohonan injunksi sebagai sebahagian daripada tuntutan mahkamah terhadap OpenAI, mencabar usaha syarikat itu untuk beralih daripada status bukan berasaskan keuntungan.
OpenAI sedang dalam proses untuk menukar statusnya kepada entiti berasaskan keuntungan. SoftBank hampir memuktamadkan pelaburan utama US$40 bilion dalam OpenAI pada penilaian bernilai US$260 bilion, menurut laporan CNBC awal bulan ini.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)