Pada hari pertama beliau memegang jawatan, Trump menandatangani perintah eksekutif yang menarik balik sekatan yang dikenakan oleh presiden sebelumnya, Joe Biden, pada tahun lepas.
"Keputusan ini menggalakkan peneroka untuk melakukan lebih banyak jenayah," kata jurucakap pihak berkuasa Palestin yang berpusat di Ramallah, Nabil Abu Rudeineh, dalam satu kenyataan.
Beliau menyeru pentadbiran AS yang baharu untuk "campur tangan bagi menghentikan jenayah ini dan dasar-dasar Israel yang tidak akan membawa keamanan dan keselamatan kepada sesiapa pun."
Kementerian Luar Palestin turut mengecam langkah AS itu.
"Menghapuskan sekatan terhadap peneroka ekstremis menggalakkan mereka untuk melakukan lebih banyak jenayah terhadap rakyat kami," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kami terus berusaha untuk menghentikan keganasan peneroka dan menghapuskan sekatan-sekatan berkenaan," katanya.
Keputusan Trump itu merupakan pembalikan terhadap tindakan dasar yang diambil oleh Biden, yang mengenakan sekatan terhadap beberapa kumpulan peneroka Israel dan individu-individu, membekukan aset mereka di AS dan melarang rakyat AS berurusan dengan mereka.
Pada Isnin, peneroka haram Israel melancarkan serangan terhadap kampung-kampung Palestin Al-Funduq dan Jinsafut di Tebing Barat yang diduduki, membakar rumah, kedai, dan kenderaan, menurut pegawai tempatan.
Ketegangan semakin memuncak di seluruh Tebing Barat berikutan serangan genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang mana sekurang-kurangnya 47,000 mangsa terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 110,700 cedera sejak 7 Okt 2023.
Sekitar 860 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 6,700 cedera akibat tembakan tentera Israel di wilayah yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan mula berkuat kuasa pada Ahad lepas di Gaza, menangguhkan serangan Israel ke atas wilayah Palestin itu.
Pada Julai lepas, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel selama berdekad-dekad ke atas tanah Palestin sebagai haram dan menuntut pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
-- BERNAMA