DALAM seminggu dua ini, tumpuan kita dialihkan sedikit kepada apa yang berlaku jauh beribu batu daripada negara - hal mengenai Rusia dan Ukraine serta ketegangan Eropah berada di ambang perang.

Kita semacam sedikit tidak peduli perang mulut dua pemimpin negara di media siber di tengah-tengah hangatnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor walhal ini patut diberi perhatian juga. Bahawa, perkembangan itu boleh mencerminkan bagaimana acuan pilihan kita, lebih-lebih lagi bagi anak muda untuk membuat pertimbangan siapa pemimpin mereka atas nama demokrasi, menukar dakwat dijari, menterjemah di kertas undi.

Dalam seminggu dua ini, kita juga seolah-olah kurang peduli tentang angka dan kematian akibat COVID-19, padahal, ini yang diribut-ribut sebelum ini. Walaupun angka jangkitan hampir 30 ribu pada satu tarikh di bulan Februari, kita masih tenang-tenang sahaja, tiada kebimbangan. Sedangkan, kita ribut-ribut sebelum ini, kerana pada hemat kita, jika angka naik, ia tidak memihak kepada ekonomi sendiri dan poket akan jadi menipis, perut akan marah sebelum seterusnya kita merintih minta pelbagai bantuan, jika tidak, kerajaan jadi sasaran dengan rasa berang itu. Malah, pada satu tahap, dilaporkan Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Malaysia sebagai negara berisiko untuk dilawati disebabkan jumlah jangkitan COVID-19 harian yang tinggi. Tidakkah ini sesuatu yang perlu dikhuatiri dalam seminggu dua ini?

Tetapi, dalam seminggu dua ini, kita sedikit sebanyak kisahkan tentang ancaman perang di Ukraine, lokasinya, jauh beribu batu daripada kita di sini. Kita jadi cepat bertanya, perang besar akan berlaku atau tidak di sana? Kita bertanya lagi, inikah masanya akan terjadi perang terbesar di abad ini selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua?

Kehadiran tentera dan jumlah yang ramai dan kelengkapan canggih Rusia ditempatkan di  sempadan Ukraine-Rusia sejak bermingg-minggu membimbangkan banyak pihak mengenai kemungkinan Rusia menyerang Ukraine, sekali gus berlaku Perang Dunia Ketiga. - Gambar Reuters

Krisis Ukraine-Rusia: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini

Jangan salah sangka, semua pertanyaan itu tidak salah dan tulisan ini diusahakan sebaik mungkin untuk memberi pencerahan kepada pertanyaan-pertanyaan yang tidak salah itu kerana ada sisi yang wajar dibimbangi kesan daripada perkembangan berkenaan, sebagai contoh nasib warga Malaysia di negara dilanda pergolakan itu, tentunya di Ukraine dan Rusia. 

Begini : Saya juga ada situasi di mana kebimbangan itu wujud apabila kali pertama berita mengenainya muncul di media, sama ada di sini atau Barat, sama ada di televisyen dan platform portal. Analisisnya juga pelbagai, ada yang menyokong Barat dan tidak. Ada juga yang melabelkan Rusia itu jahat dan AS serta sekutunya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu bertindak betul mempamerkan "kejahatan" Rusia mahukan perang meletus di Ukraine.

Anak saya belajar di Rusia, di Volgograd, lebih khusus. Berbanding wilayah lain di Rusia, Volgograd, letaknya paling hampir dengan Ukraine, kurang 1,000 kilometer jauhnya. Tentunya saya bimbang apabila dikatakan Rusia akan menjarah Ukraine, pada bila-bila masa, pada bulan ini, kalau mengikut laporan memetik media AS. Perang, pada hemat AS dan bukannya Rusia, bagaikan tidak boleh ditahan-tahan lagi apabila pada Isnin, diberitakan Presiden Rusia, Vladimir Putin mengerahkan sebilangan tentera ke Ukraine selepas berucap mengiktiraf Republik Rakyat Donetsk dan Lugansk, dua wilayah dalam Ukraine. Sudah tentu, saya bimbang dengan perkembangan terbaharu ini, apatah lagi Ukraine sudah isytihar darurat susulan perkembangan pada Isnin dan banyak rakyat asing di Ukraine sudah mula dipanggil pulang.

Konflik dan ancaman perang oleh Rusia ke atas Ukraine turut membimbangkan mereka yang berada di wilayah lain di Rusia yang letaknya berhampiran dengan Ukraine. - Gambar Reuters

Tetapi, rasa bimbang itu memandu komunikasi saya bersama pengkaji hubungan antarabangsa dengan pengkhususan Rusia dan Eropah Timur dari Universiti Indonesia (UI), Hariyadi Wira, yang meringkaskan kesimpulan untuk saya petik begini : "Belum perang. Hanya amaran. Kelengkapan tentera gah dipamerkan. Perkembangan demi perkembangan yang berlaku, tidak cukup besar untuk terjadinya satu perang yang mega. Puncanya juga kecil, Rusia barangkali sedikit marah atau lebih tepat tidak senang hati dengan Ukraine yang mahu menyertai NATO. Keadaan ini diambil kesempatan oleh Amerika untuk mencetuskan ketegangan."

Sambung Hariyadi, kecuali Ukraine benar-benar menyertai NATO dan termakan umpan Amerika, sekatan sudah pasti berlaku dan peratusan untuk berlaku perang besar-besaran juga meningkat, walaupun itu seboleh-bolehnya mahu dielak oleh baik Rusia dan Amerika juga.

"Apa yang berlaku kepada Ukraine sekarang adalah kesinambungan peristiwa yang membangkitkan kemarahan Kremlin dan bermula selepas negara bekas United Socialist Soviet Republic (USSR) dibubarkan, beberapa dekad lalu, " katanya sambil berpesan, jangan dilupakan sebelum ini Georgia juga mahu masuk NATO, dan pencerobohan untuk tujuan beri amaran berlaku selama 12 hari. Tiada banyak korban akibat penaklukan 12 hari ini. Taktik Rusia pada waktu itu ialah pastikan kawasan pemisah pro-Rusia, Abkhazia dan South Ossetia selamat sebelum berundur keluar.

Untuk rekod, Georgia ialah bekas anggota USSR, sebuah kesatuan negara-negara komunis yang turut menggabungkan Rusia, Ukraine, Belarus, Kazakhstan dan 10 buah negara lain. Tujuan asal penubuhan NATO ialah mengekang USSR, walaupun selepas USSR bubar, AS tetap teruskan dengan NATO. Georgia melahirkan hasrat mahu masuk NATO pada 2008 tetapi sehingga sekarang belum diterima persatuan gagasan Amerika dibentuk pada 1949 itu.

Jadi, apa perkaitan Rusia, USSR, negara bekas anggota USSR, NATO, Amerika dan Ukraine dalam konteks perkembangan seminggu dua ini?

"Pada Isnin, Rusia tidak berperang dengan Ukraine, cuma menceroboh. Lain maksudnya berperang dan menceroboh. Di awal-awal ketegangan bermula, Amerika dengan yakin menyatakan Rusia akan melancarkan perang, tetapi apabila Putin "menceroboh" Ukraine dengan membebaskan Donetsk dan Lugansk atau dikenali sebagai Donbas, hanya sekatan dikenakan kepada Rusia," kata James M Dorsey dalam blognya di The Israel Times.

Dan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, seorang pelawak yang diangkat jadi Presiden pada 2019, juga akui apa yang berlaku pada Isnin itu bukan pencerobohan sebaliknya tindakan pencabulan ke atas kedaulatan mereka walaupun beliau mempersetujui dekri supaya darurat diisytiharkan selama sebulan bermula Khamis.

Tulisnya lagi, berbanding Georgia, negara bekas USSR, Ukraine - juga negara bekas USSR, lebih penting dan kritikal kepada Rusia memandangkan Crimea di selatan Ukraine merupakan lokasi pangkalan tentera laut mereka.

"Semasa era USSR, pada bila-bila masa jika mahu, Rusia bebas menempatkan tentera dan kapal mereka di Crimea, namun tidak lagi selepas Ukraine merdeka daripada USSR. Rusia sebaliknya perlu membayar sewa kepada Ukraine untuk akses ke Crimea. Jika, pada bila-bila masa Ukraine menggangotai NATO, bukan sahaja Rusia tidak boleh mengguna pakai Crimea, yang dibimbangi ialah kapal perang AS bebas memasuki Laut Hitam dan menyekat laluan Rusia, dan ini menjadi kebimbangan Kremlin sebenarnya. Jalan keluar kepada masalah itu, Putin menakluk Crimea dan wilayah itu jadi milik Rusia sehingga hari ini. Oleh kerana itu, Rusia tidak boleh duduk diam berpeluk tubuh membiarkan Ukraine bergolak dan termakan umpan AS. Itulah sebabnya taktik seperti di Crimea digunakan di Donbas, dianggap bukan perang tetapi penaklukan," kata Dorsey.

Ironinya, semasa Saddam Husein menceroboh Kuwait pada 1990, tentera perikatan diketuai AS menghantar 180,000 kerahan ke Iraq untuk membebaskan Kuwait. Tetapi apabila Putin menakluk Crimea pada 2014, mereka tidak hantar walau seorang anggota, apatah lagi kelengkapan ketenteraan. Apabila Putin melakukan tindakan sama, pada Isnin, dianggap "gertak kedua selepas di Crimea", AS hanya menunjukkan minat yang minimum untuk melindungi Ukraine. Hakikatnya, 8,500 tentera bersiap-siaga melawan 100,000 tentera Rusia di sempadan bulan lepas. Barangkali, AS, walaupun sebuah kuasa besar dengan kebanyakan Presidennya gemar berperang, hanya mahu bertarung dengan Iraq, Libya, Syria dan Afghanistan, bukannya Rusia.

Ketegangan yang memuncak di Ukraine berikutan ancaman perang oleh Rusia menyebabkan ramai warga asing membuat keputusan untuk keluar daripada negara itu. - Gambar Reuters

Sudah tentu, Joe Biden dan AS giat mendendangkan bahawa Putin menceroboh Ukraine supaya mereka boleh menjadi pembekal utama gas asli ke Eropah, ketika ini dikuasai mereka. Hal ini tidak boleh diterima Rusia apatah lagi ketika mana ia membabitkan Jerman dan projek laluan gas dikenali Nord Stream 2. Tamparan hebat pernah diterima Moscow semasa era pasca penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat di mana Rusia meminta supaya Jerman yang bersatu itu tidak dibenarkan menyertai pakatan NATO sebagai syarat untuk meruntuhkan Tembok Berlin. Namun, dalam perkembangan seterusnya menyaksikan Jerman kembali ke persada NATO, malah menjadi sekutu kuat Barat.

"Krisis Ukraine tiada kaitan dengan Ukraine. Ia berhubung kait dengan Jerman," tulis Mike Whitney dalam portal eurasiareview.com pada awal minggu lepas.

Katanya, secara khusus, ia ada kaitan dengan projek laluan gas Nord Stream 2 menghubungkan Jerman dan Rusia. Jerman negara yang sangat rapat dengan Rusia melalui laluan gas. Mereka telah bina laluan gas Nord Stream 1 dan 2 dan sedang membina Turk Stream 1, Turk Stream 2, yang akan menyalurkan gas digunakan oleh Eropah.

Saya tanyakan juga perkara ini kepada Prof Madya Dr Mizan Aslan, Profesor Pengajian Keselamatan NAUSS, Riyadh, Arab Saudi di mana beliau juga senada dengan Whitney bahawa selain soal NATO, punca kesemua perkembangan ini adalah projek laluan gas dan Rusia sebagai kuasa  pembekal di Eropah.

"Pada hemat AS, untuk memastikan Jerman tidak bergantung penuh kepada Rusia untuk gas dan projek itu, satu helah perang perlu dijayakan. Hanya perang boleh hentikan projek itu dan Rusia tidak boleh menjadi kuasa pembekal. Tetapi, kepada Rusia dan Putin khususnya, mereka sudah pasti tidak membenarkan ini belaku, kerana itu, butangnya ada kepada Jerman untuk ke meja rundingan melalui diplomasi dan bukannya perang," kata beliau.

Di sebalik gema "perang"dan irama pencerobohan ini, semua baik-baik sahaja di Rusia, anak saya, rakan-rakannya serta sahabat saya di AS.

"Tiada apa yang luar biasa berlaku di Moscow. Kami baik-baik sahaja. Kita tidak percaya Rusia akan berperang dengan Ukraine. Padahnya cukup serius jika perang, sudah pasti China dan Korea Utara terlibat sama. Apabila ini berlaku, sudah pasti meletus perang nuklear," kata seorang rakan Rusia, Alexsandr Pavel, kini bertugas di Kementerian Luar Rusia melalui WhatsApp, ketika ribut-ribut kemungkinan perang berlaku di Ukraine.

Begitu juga, Dr Noora Rowley, sahabat saya, yang berada di Chicago, Amerika Syarikat, tidak percaya perang akan meletus di antara Rusia dan Ukraine walaupun beliau mahu mengakui bahawa ia akan berlaku jika Biden menjadi seorang lagi Presiden yang gemarkan darah serta kemusnahan.

"Namun dalam keadaan negara di mana ekonominya terus meredum disebabkan COVID-19, satu lagi perang, selepas menamatkannya di Afghanistan tahun lepas adalah satu kesilapan yang besar," kata Dr Noora lagi.

Anak saya serta rakan-rakannya, pelajar tahun tiga juga baik-baik sahaja di Volgograd. Tiada yang membimbangkan, jika ada, sudah pasti kedutaan Malaysia di Moscow akan memaklumkan sebarang perkembangan, kata Ahmad Ashraff Haiqal, ketika saya menghubunginya bagi bertanyakan keadaan warga Malaysia di Rusia apabila tersebar laporan perang akan meletus di Ukraine, negara jiran Rusia.

"Setakat ini, kedutaan boleh beri jaminan keadaannya terkawal.Tidak perlu bimbang, jika berlaku perang, kita akan bagi keutamaan untuk pindahkan kesemua pelajar dan warga Malaysia di sini," kata Johan Ariff Abdul Razak, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Moscow.

Kemusnahan berlaku di Ukraine ketika mana tentera Rusia menceroboh dua wilayah di timur negara itu pada Isnin lepas. - Gambar Reuters

Jadi, penganalisis, pemerhati, penduduk dan warga dunia sebenarnya berharap perang tidak meletus di Ukraine. Kebarangkalian untuk berlaku juga kecil. Ini kerana perang yang akan berlaku tidak akan menguntungkan Rusia, malah AS juga. Kepada Rusia, jika mereka menyerang Ukraine, ia hanya perang yang singkat, barangkali untuk memastikan cengkaman Rusia lebih kukuh di timur Ukraine. Kepada AS, ia pasti berdepan kekalahan lagi sekali pun jika bergabung atas panji-panji NATO.

Sudah pasti, serangan Rusia terhadap Ukraine tidak akan mencetuskan Perang Dunia Ketiga, sebagaimana dibimbangi banyak pihak. Ini kerana Ukraine masih belum diterima menjadi ahli NATO. Jika bukan ahli NATO, anggota lain dalam pakatan itu seperti AS, United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman tidak wajib mempertahankan Ukraine. Dalam hal ini, ahli NATO ini hanya akan bersuara mengutuk tindakan Rusia dan mendesak negara itu menarik keluar tenteranya. Itu sahaja. Itulah yang berlaku di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU). Negara sekutu juga hanya mengeluarkan kecaman dan bersetuju mengenakan sekatan kepada Rusia, hal yang tidak ditakuti Moscow sama sekali.  

Akan berlaku Perang Dunia Ketiga di Ukraine? Mungkin tidak. Pertimbangkan ini. Dalam buku, The First World War: An Ilustrated History (1974) oleh AJP Taylor memperincikan bahawa Perang Dunia Pertama berlaku kerana Rusia isytiharkan perang terhadap Austria, yang merupakan sekutu Jerman. Manakala buku, The Origins of the Second World War (1991), AJP Taylor menulis bahawa, Perang Dunia Kedua pula terjadi sebab serang Poland, sekutu UK dan Perancis. Dalam hal ini, Ukraine bukan sekutu sesiapa, jadi, kebarangkalian untuk terjadi Perang Dunia Ketiga juga hampir tiada.

Apa yang berlaku di Ukraine sebagaimana dicetuskan Rusia diharap tidak akan membawa kepada berlakunya Perang Dunia Ketiga. - Gambar Reuters

Namun jika berlaku juga, dilihat di atas kertas, Rusia ada kelebihan dan 99.9 peratus akan menang jika perang tercetus di Ukraine. Dapat dilihat, Putin juga tidak takut kepada ancaman sekatan oleh AS sebagaimana dilakukan sekarang. Jika berlaku juga perang, Rusia sudah pasti dibantu China, begitu juga Korea Utara, perang nuklear pasti terlibat di sini, AS dan NATO tidak akan menang jika berlawan dengan kuasa-kuasa nuklear ini sekali pun  penglibatan India yang akan ada di belakang Amerika.

Namun, paling dibimbangi ialah pemikiran tidak dijangkakan Putin itu sendiri. Sama ada Rusia benar-benar mahu serang Ukraine dalam skala besar kali ini, hanya Putin dan penasihatnya yang tahu. Tetapi berdasarkan kepada sejarah dan bahasa badan, Putin gemar bertindak secara psikologi. Mungkin pada asalnya beliau enggan serang Ukraine, tetapi dengan begitu banyak tekanan, di kiri kanan dan depan belakang, ditambah provokasi musuhnya AS, tidak mustahil Putin membuat tindakan luar biasa.

Tetapi sebagaimana dikatakan tadi, serangan terhadap Ukraine tidak akan memberi untung kepada Rusia. Ini kerana, objektif jangka panjang Rusia hanya mahu memastikan Ukraine tidak menyertai NATO, habis cerita. Jika Rusia lakukan serangan juga, walaupun jika Ukraine tidak menyertai NATO, ia akan menguatkan hujah negara-negara yang pro-NATO bahawa Ukraine memerlukan pakatan diasaskan AS ini untuk tujuan melindungi diri daripada Rusia. Dan, Rusia sendiri, tidak mahukan itu berlaku.

Sehingga berlaku perkembangan seterusnya di negara yang letaknya beribu-ribu kilometer jauhnya daripada Malaysia, saya lebih memilih untuk bimbang dengan masa depan negara melalui PRN Johor dan angka COVID-19 yang makin meningkat, dan bukannya gema perang di Ukraine yang didendangkan Amerika Syarikat.



* Azlinariah Abdullah ialah pengkaji Sosiologi dan Budaya Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya dan Editor buku Senandika Cinta & Korona di Rusia tulisan Ahmad Ashraff Haiqal

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.