WASHINGTON: Pangkalan data di seluruh negara yang menjejaki salah laku pegawai polis Amerika Syarikat (AS) telah ditutup berikutan arahan Presiden Donald Trump, lapor agensi berita Jerman dpa.

Menurut notis di laman web Jabatan Kehakiman AS, menyatakan Trump telah membatalkan perintah eksekutif yang ditandatangani bekas presiden Joe Biden menyebabkan Pangkalan Data Akauntabiliti Penguatkuasaan Undang-undang Kebangsaan (NLEAD) dihentikan operasinya.

"Agensi pengguna tidak lagi boleh membuat carian atau menambah data dalam NLEAD. Jabatan Kehakiman AS sedang menghentikan operasi NLEAD mengikut piawaian persekutuan," menurut kenyataan itu.

Trump mencadangkan penubuhan pangkalan data semasa penggal pertamanya di Rumah Putih, sebelum ia dicipta secara rasmi oleh Biden.

Pangkalan data itu diwujudkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan yang datang daripada protes Black Lives Matter 2020 berikutan pembunuhan George Floyd.

Derek Chauvin, bekas pegawai polis di Minneapolis, telah menggunakan lututnya untuk menekan Floyd ke tanah selama lebih sembilan minit pada Mei 2020. Dia disabitkan kesalahan membunuh dan melanggar hak Floyd.

-- BERNAMA