PARIS: Pemimpin Eropah akan membincangkan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang di Ukraine dalam satu mesyuarat di ibu negara Perancis pada Isnin, menurut Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot dalam wawancara bersama penyiar France Inter pada Ahad, lapor agensi berita Jerman dpa.

Barrot tidak menyatakan secara terperinci siapa yang akan menyertai perbincangan itu, yang katanya akan dianjurkan oleh Presiden Emmanuel Macron.

Menurut diplomat, mesyuarat itu akan menumpukan kepada bagaimana negara Eropah boleh menyumbang kepada kemungkinan perjanjian damai.

Sejak panggilan telefon antara Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin, kebimbangan timbul di Eropah dan Ukraine bahawa negara Eropah mungkin diketepikan daripada sebarang perjanjian damai.

Terdapat juga kebimbangan bahawa Trump tidak mahu negara Eropah berada di meja rundingan tetapi pada masa yang sama mengharapkan mereka menanggung beban melaksanakan penyelesaian damai.

Sementara itu, rundingan untuk keamanan di Ukraine semakin rancak. Dalam minggu hadapan, Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan wakil kanan Rusia dijangka bertemu di Arab Saudi untuk membincangkan penamatan perang Rusia di Ukraine.

Selain itu, satu pertemuan antara Trump dan Putin turut dirancang di negara Arab itu.

Menurut Politico, tiada wakil dari Eropah dijangka hadir dalam rundingan di Arab Saudi minggu depan. Memetik seorang pegawai Ukraine, majalah AS itu melaporkan bahawa Ukraine juga tidak akan menghantar wakil ke sana.

Duta Khas AS untuk Ukraine, Keith Kellogg, memberi jawapan mengelak ketika ditanya di Persidangan Keselamatan Munich mengenai penglibatan yang diminta oleh sekutu Eropah dalam rundingan tersebut.

BBC memetik beliau sebagai berkata bahawa rundingan sebelum ini gagal kerana terlalu banyak pihak terlibat.

-- BERNAMA