OTTAWA: Bekas Gabenor Bank Pusat, Mark Carney memenangi pemilihan untuk menerajui Parti Liberal Kanada sekali gus akan menggantikan Justin Trudeau sebagai Perdana Menteri

Carney akan mengambil alih kepimpinan pada saat yang mencabar bagi Kanada, yang kini berdepan perang perdagangan dengan sekutu lamanya, Amerika Syarikat (AS).

Beliau dijangka memimpin parti itu dalam pilihan raya Persekutuan seterusnya – yang mesti diadakan sebelum Oktober atau boleh diadakan lebih awal – di mana beliau berkemungkinan menghadapi persaingan sengit daripada Parti Konservatif, yang kini mendahului dalam tinjauan pendapat.

Walaupun Carney akan mengambil alih serta-merta sebagai pemimpin Parti Liberal, Trudeau akan kekal sebagai Perdana Menteri Kanada untuk tempoh peralihan yang belum diumumkan bagi membolehkan penggantinya menyesuaikan diri.

Salah satu isu paling mendesak yang perlu ditangani Carney ialah hubungan Kanada-Amerika Syarikat (AS) yang semakin tegang.

Presiden AS, Donald Trump, berulang kali menyalahkan Kanada berhubung isu pendatang haram ke AS, mengancam untuk menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51, serta mengenakan tarif tinggi ke atas import
Kanada, yang menurut White House diperlukan bagi mengekang aliran fentanyl ke sempadan AS.

Ketegangan ini telah memberi kesan kepada masyarakat Kanada, dengan penyokong di perlawanan NHL dan NBA di Kanada dilaporkan mengejek lagu kebangsaan AS.

Carney kini akan berdepan dengan ketua Parti Konservatif, Pierre Poilievre, yang sebelum ini dibandingkan dengan Trump tetapi kini cuba menjauhkan diri daripada pemimpin AS itu.

Pada sidang akhbar awal minggu ini, Poilievre menegaskan bahawa beliau “bukan MAGA.”

Dalam satu perhimpunan pada Ahad sebelum undian Parti Liberal, Poilievre mengkritik Carney, yang merupakan bekas Gabenor Bank of England dan Bank of Canada, dengan menggambarkannya sebagai pemimpin yang tidak bersedia untuk berdepan dengan Trump.

“Semasa bekerja untuk Trudeau, Carney melemahkan dan memiskinkan Kanada; semasa bekerja untuk dirinya sendiri, Carney menjadikan Amerika Syarikat lebih kaya dan lebih kuat,” kata Poilievre.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kelebihan Parti Konservatif dalam tinjauan pendapat semakin mengecil apabila Trudeau, Carney, dan pemimpin Parti Liberal lain mengambil pendirian tegas dalam pertikaian perdagangan dengan AS.

Trudeau telah memimpin Parti Liberal selama lebih sedekad.

Beliau membawa parti itu ke tampuk kuasa pada 2015 dengan janji "cara yang cerah" untuk Kanada dan dipilih semula dua kali, kali terakhir pada 2021, di mana beliau mengekalkan kuasa tetapi kehilangan majoriti pemerintahan.

Pengunduran Trudeau berlaku selepas beberapa krisis politik, ketidakpuasan ekonomi yang semakin meningkat dan peletakan jawatan mengejut Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, Chrystia Freeland – yang turut bersaing untuk menggantikannya. - Agensi