ROM: Ketua Gereja Katolik antarabangsa, Paus Francis mengalami “dua episod kegagalan pernafasan akut,” kata Vatican pada Isnin, menandakan satu lagi krisis kesihatan yang dihadapi oleh pemimpin berusia 88 tahun itu sejak pertama kali dimasukkan ke hospital bulan lalu.

Menurut Vatican, episod pada Isnin itu berpunca daripada “pengumpulan lendir endobronkial yang signifikan” yang menyebabkan penyempitan saluran pernafasan.

Awal pagi Isnin, beliau menjalani dua prosedur bronkoskopi dan doktor telah mengeluarkan lendir yang terkumpul, sementara, pada sebelah petang, Paus Francis diberikan topeng oksigen bagi membantu pernafasannya, kata Vatican.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berada dalam keadaan sedar dan memberi kerjasama, tambah kenyataan itu.

“Ia adalah petang yang sukar,” kata sumber Vatican pada Isnin malam, tetapi krisis pernafasan akut itu telah berlalu dan Paus kini sedang berehat.

“Pengumpulan lendir ini berpunca daripada radang paru-paru (pneumonia), yang menyebabkan batuk serta kekejangan,” kata sumber berkenaan.

Dalam masa sama, pasukan perubatan dilaporkan berkata, keputusan ujian darah Paus Francis kekal stabil, tetapi prognosisnya masih dirahsiakan.

Dr Jeremy Faust, seorang doktor kecemasan di Boston memberitahu CNN, “ventilasi mekanikal tanpa invasif”, yang dirujuk Vatican sebagai topeng oksigen, bertujuan untuk memberikan oksigen dengan sedikit tekanan kepada pesakit.

“Ventilasi tanpa invasif biasanya dilakukan sebelum seseorang perlu menjalani intubasi dengan mesin bantuan pernafasan,” jelas Faust.

Beliau menambah, rawatan ini digunakan dalam dua keadaan - sama ada pesakit belum memerlukan intubasi dan sedasi atau pesakit tidak mahu menjalani intubasi kerana faktor usia dan keadaan kesihatan.

Paus Francis telah dirawat di Hospital Gemelli, di sini, sejak pertengahan Februari kerana mengalami radang paru-paru.

Pada Jumaat lalu, beliau berhadaapan masalah pernafasan secara tiba-tiba yang memerlukan penggunaan topeng oksigen.

Sejak dilantik menjadi Paus pada 2013, ini merupakan paling lama beliau menjalani rawatan di hospital.
Vatican kini mengeluarkan kemas kini mengenai kesihatannya dua kali sehari.

Paus Francis mengalami masalah paru-paru sejak usia muda.

Beliau pernah menghidap pneumonia teruk dan sebahagian paru-parunya telah dibuang semasa muda.

Pada Ahad, sumber Vatican berkata: “Keadaan Paus Francis masih kompleks” dan “risiko krisis masih ada.”

Dalam perkembangan sama, sepupu Paus Francis, Carla Rabezzana, memberitahu CNN, keluarga mereka bimbang dengan keadaannya.

Rabezzana berkata keluarga tidak berhubung secara langsung dengannya tetapi mengikuti perkembangannya melalui berita.

Kali terakhir mereka berbual melalui telefon ialah pada Krismas lalu. - CNN