Pemimpin berusia 88 tahun itu mengalami jangkitan pernafasan selama lebih seminggu dan telah dimasukkan ke Hospital Gemelli, di sini, pada Jumaat lalu.
"Imbasan CT dada susulan yang dijalankan ke atas beliau petang ini (Selasa)... menunjukkan permulaan pneumonia dua hala, yang memerlukan terapi ubat tambahan," kata Vatican.
Ia turut menyatakan bahawa ujian makmal, sinar-X dada dan keadaan klinikal Paus masih menunjukkan "gambaran yang kompleks."
Walaupun begitu, Vatican memaklumkan bahawa Paus Fransiskus berada dalam "semangat yang baik" dan menghabiskan harinya dengan "membaca, berehat dan berdoa."
Paus juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakannya dan meminta agar orang ramai terus "berdoa untuknya."
Sebelum dimasukkan ke hospital minggu lalu, Paus mengalami gejala bronkitis selama beberapa hari dan telah menyerahkan tugas membaca ucapan yang telah disediakan kepada pegawai lain dalam beberapa acara.
Beliau sepatutnya mengetuai beberapa acara hujung minggu lalu bagi sambutan Tahun Suci Katolik 2025 yang berlangsung sehingga Januari tahun depan, namun semua acara awam dalam kalendar Paus telah dibatalkan sehingga Ahad.
Pada hari Isnin, Vatican mengumumkan doktor telah menukar terapi ubat Paus buat kali kedua sepanjang tempoh rawatannya di hospital bagi menangani apa yang pada ketika itu dipercayai sebagai "jangkitan saluran pernafasan polimikrob."
Paus Fransiskus lebih mudah terdedah kepada jangkitan paru-paru kerana pernah mengalami pleurisi semasa dewasa dan telah menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-parunya ketika berusia 21 tahun.
Sepanjang 12 tahun kepimpinannya dalam Gereja Katolik Rom, beliau telah beberapa kali dimasukkan ke hospital, termasuk pada Mac 2023 apabila beliau menghabiskan tiga malam di hospital akibat bronkitis. - Agensi
