NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) secara rasmi mengisytiharkan 28 Januari sebagai Hari Kewujudan Bersama Secara Aman Antarabangsa, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).

Resolusi itu yang diterajui oleh Kerajaan Bahrain dengan kerjasama negara bersekutu telah dimulakan oleh Pusat Global Raja Hamad untuk Kewujudan Bersama Secara Aman. Ia menekankan komitmen masyarakat antarabangsa dalam memupuk keharmonian, perpaduan dan saling menghormati antara pelbagai budaya, agama serta tamadun.

Resolusi itu menyeru negara anggota PBB, organisasi antarabangsa, masyarakat sivil dan media untuk memperingati hari yang penting ini dengan aktiviti serta inisiatif bermakna yang mencerminkan semangatnya.

Ia turut menggalakkan semua negara anggota, entiti sistem PBB, organisasi antarabangsa dan serantau, serta pihak berkepentingan utama, termasuk masyarakat sivil, sektor swasta, akademia dan media untuk menyambut Hari Antarabangsa ini dengan cara yang aktif memupuk budaya keamanan, keterangkuman, persefahaman dan perpaduan.

Selain itu, resolusi berkenaan menyeru negara anggota untuk meningkatkan usaha dalam memajukan keamanan dan pembangunan mampan, dengan memanfaatkan sambutan hari-hari antarabangsa, serantau dan kebangsaan bagi menyatukan masyarakat global dalam membina dunia yang lebih harmoni dan makmur.

Setiausaha Agung PBB diberi tanggungjawab untuk menyebarkan resolusi ini bagi memastikan kesedaran dan penglibatan global yang meluas.

-- BERNAMA