Menurut PBB, langkah berjaga-jaga itu diambil bagi melindungi kakitangannya sambil memastikan operasi penting di rantau itu tidak terganggu.
Kumpulan pemberontak M23 yang didakwa mendapat sokongan Rwanda, baru-baru ini meningkatkan serangan mereka di timur Congo dengan menawan beberapa bandar utama. Mereka dilaporkan sedang mara ke arah Goma, ibu kota Kivu Utara.
Presiden Rwanda Paul Kagame berulang kali menafikan dakwaan pihaknya menyokong kumpulan pemberontak.
Pihak berkuasa Congo pada Jumaat memaklumkan bahawa gabenor tentera wilayah Kivu Utara Mej Jen Peter Cirimwami meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya ketika bertempur di barisan hadapan.
Kumpulan M23 menyatakan mereka berjuang untuk mempertahankan kepentingan minoriti Tutsi Congo, yang didakwa dianiaya di Congo kerana kaitan etnik mereka dengan komuniti Tutsi Rwanda.
PBB memaklumkan bahawa kakitangan penting akan kekal di lapangan di Goma bagi mengekalkan operasi kritikal seperti pengagihan makanan, bantuan perubatan, penyediaan tempat perlindungan serta perlindungan kepada komuniti terdedah.
Puluhan ribu penduduk telah meninggalkan kediaman mereka di timur Congo sejak pertempuran antara tentera dan pemberontak M23 meningkat pada akhir tahun lepas.
Enam anggota tentera dari dua negara Afrika yang menyertai misi pengaman di Congo terkorban awal minggu ini dalam pertempuran berasingan dengan kumpulan pemberontak itu.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Malawi (MDF) Mej Emmanuel Mlelemba berkata tiga anggota tentera Malawi maut pada Jumaat dalam serangan hendap oleh kumpulan pemberontak.
Dalam insiden berasingan, "South African National Defence Union" pada Sabtu mengesahkan bahawa tiga anggotanya terbunuh dan 14 yang lain cedera dalam pertempuran dengan M23.
Anggota tentera itu terkorban ketika Menteri Pertahanan Afrika Selatan Angie Motshekga sedang melakukan lawatan ke Congo.
-- BERNAMA