Menteri Luar Kenya Musalia Mudavadi, yang mempengerusikan bersama sidang kemuncak itu menekankan kepentingan menghentikan permusuhan dan mempercepatkan rundingan damai.
"Keamanan bukan seperti kopi segera. Ia tidak boleh dibancuh begitu sahaja. Kita mempunyai peluang keemasan sebagai Komuniti Afrika Timur (EAC) dan Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) untuk membantu rakyat Republik Demokratik Congo," katanya kepada delegasi dalam mesyuarat menteri di Tanzania.
Menteri Luar Zimbabwe Amon Murwira yang turut mempengerusikan sidang itu, bersetuju dengan pandangan Mudavadi, sambil menambah bahawa perbincangan pada sidang berkenaan menjadi asas kepada pertemuan pemimpin negara dan kerajaan pada Sabtu.
Mesyuarat itu dijangka mempertemukan Presiden Rwanda dan Presiden Republik Demokratik Congo, di tengah-tengah pertikaian mereka berhubung konflik yang berlarutan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk dalam sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada Jumaat, mengecam peningkatan keganasan di timur Congo.
Beliau mendedahkan bahawa sejak 26 Jan hampir 3,000 orang terbunuh, 2,880 cedera dan lebih 500,000 penduduk terpaksa berpindah, menjadikan jumlah keseluruhan pelarian dalaman kini mencecah 6.4 juta orang.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)