KAMI yang tersenarai di bawah mengambil perhatian laporan akhbar bahawa presiden AS Donald Trump telah mencadangkan agar semua penduduk Palestin di Gaza dipindahkan ke negara Mesir dan Jordan.

Namun cadangan itu, sejurus selepas dibangkitkan oleh presiden AS itu, telah ditolak bulat-bulat oleh Mesir, Jordan dan rakyat Palestin.

Kami mengecam rancangan Trump itu sebagai sesuatu yang tidak munasabah dan tidak lain dan tidak bukan hanyalah percubaan untuk memberi ganjaran kepada jenayah berat negara apartheid penjajah Israel yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin.

Pembersihan etnik rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sentiasa menjadi satu matlamat utama Zionis Israel. Tindakan memindahkan keluar 2.2 juta penduduk Gaza akan membantu Israel mencapai objektif pembersihan etnik Israel terhadap warga Palestin. Ia juga akan menjadi ganjaran kepada Israel sebagai balasan pembunuhan beramai-ramai selama 15 bulan yang dilakukan di Gaza baru-baru ini.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan pentingnya pada 19 Julai 2024 telah mengisytiharkan bahawa tindakan Israel menduduki Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, adalah menyalahi undang-undang. Ini termasuk pembinaan penempatan yang berkaitan, pengilhakan dan penggunaan sumber asli . Keputusan itu disokong oleh resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 18 September 2024. Ini bermakna Israel melanggar kedua-dua ketetapan ICJ dan resolusi Perhimpunan Agung PBB. Rancangan Trump, jika berlaku, akan mengekalkan dan sebenarnya memberi ganjaran kepada pelanggaran undang-undang Israel.

Kami menggesa Presiden Trump untuk menghadapi realiti dan menerima hakikat bahawa:

a) ancaman bom mahupun peluru tidak akan membuatkan rakyat Palestin mahu meninggalkan tanah yang mereka miliki secara sah. Apa yang telah berlaku di di Gaza selama 15 bulan yang lalu adalah bukti.

b) undang-undang antarabangsa sepenuhnya menyebelahi rakyat Palestin dalam persoalan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

c) keamanan yang didakwanya ingin dilihat berlaku hanya boleh berlaku jika disertai dengan keadilan dan itu bermakna Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa sepenuhnya dan menamatkan pendudukannya di Palestin dan mengiktiraf hak untuk rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka.

Sehubungan dengan itu, kami juga menyeru kerajaan Malaysia, yang patut dipuji kerana senantiasa lantang menyokong perjuangan Palestin, untuk melangkaui retorik semata-mata. Antara tindakan konkrit yang boleh diambil ialah memulakan langkah untuk mengumpulkan sokongan dan mengatur usaha negara anggota PBB ke arah pengusiran Israel daripada Perhimpunan Agung PBB. Tindakan sebegitu tidak dapat dipertikaikan lagi dengan mengambil kira kezaliman negara apartheid terakhir di dunia itu, serta penghinaan yang dilakukannya selama ini terhadap PBB.

27 Januari 2025

1. BDS Malaysia
2. Muslim Care Malaysia
3. Citizens International
4. HALUAN
5. Volunteering Trip Malaysia (VTM)
6. Cakna Palestin
7. Persatuan Ulama Malaysia
8. Muslim Volunteer Malaysia (MVM)
9. MERCY Malaysia
10. ⁠Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM)
11. Palestine Solidarity, Penang
12. Center for Peace & Sustainability
13. Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)
14. Al-Quds Foundation Malaysia (QFM)
15. Viva Palestina Malaysia
16. Persatuan Mawaddah
17. Pertubuhan Intelektual Perlis (PIP)
18. Sekretariat Solidariti Palestin (SSP)
19. Aliran
20. Gegar Amerika
21. ⁠Muslim Professionals Forum
22. Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin
23. Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
24. SEJAGAT
25. Pertubuhan IKRAM Malaysia
26. IKRAM Muda
27. ⁠Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM)
28. Palestinian Forum Malaysia-PFM
29. KDMRS Muslim
30. Gerakan Keadilan Monetari, Malaysia
31. Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN)
32. Persatuan Akademia IKRAM Malaysia