PARIS: Pelancaran komersial pertama roket baharu Eropah, Ariane 6 terpaksa dibatalkan pada saat akhir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Pelancaran terpaksa ditangguhkan disebabkan keperluan untuk menjalankan operasi lanjut pada sistem darat yang berhubung dengan pelancar," menurut pengendali roket, Arianespace di platform X.

Pengumuman itu dibuat kira-kira 30 minit sebelum waktu pelancaran yang dijadualkan pada Isnin.

Tarikh baharu akan diumumkan selepas operasi itu selesai.

Roket itu sudah pun berada di tapak pelancarannya di Pusat Angkasa Eropah di Kourou, Guiana Perancis, dengan platform kerja mudah alih di sekelilingnya telah ditanggalkan bagi pelancaran yang dirancang.

Ariane 6 amat penting bagi memastikan Eropah mengekalkan akses bebas ke angkasa lepas, membolehkan pelancaran satelit berskala besar secara kendiri.

Roket terbabit melengkapkan penerbangan sulungnya pada musim panas lalu.

Roket ini menggantikan Ariane 5, yang beroperasi dari 1996 hingga musim panas 2023. Ia direka untuk membawa satelit ke angkasa bagi pelanggan komersial dan sektor awam, dengan kapasiti muatan sehingga 21.6 tan metrik.

Pada asalnya, Ariane 6 dijadualkan dilancarkan pada 2020, namun berdepan beberapa siri penangguhan.

-- BERNAMA