Menteri Penyelaras Bidang Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Agus Harimurti Yudhoyono berkata, semua kementerian sedang membuat penyesuaian untuk mengelakkan pembaziran kos.
Menurut media tempatan, Agus berkata, beliau telah mendapat arahan daripada Presiden Prabowo Subianto untuk menyemak semula reka bentuk dan pelaksanaan projek IKN.
Katanya, kerajaan mahu memastikan setiap projek yang dibina mengikut keperluan dan manfaat yang jelas untuk rakyat.
“Justeru, kami harus memberi keutamaan terutama penyesuaian agar pembangunan IKN ini menjadi projek nasional yang penting untuk tempoh lima tahun mendatang khususnya dalam tempoh awal pentadbiran Presiden Prabowo.
“Terkait dengan IKN, Presiden Prabowo juga telah memaklumkan bajet sebanyak 48.8 trilion rupiah diperuntuk untuk pembangunan IKN pada tempoh 2025-2029 dan ia akan digunakan secara berperingkat mengikut rancangan ditetapkan,” katanya pada sidang media di Jakarta, pada Rabu.
Selain pembangunan IKN, kerajaan juga fokus pada penyelenggaraan projek-projek lain untuk membangunkan ekonomi Indonesia melalui sektor pendidikan, kesihatan dan beberapa usaha membasmi kemiskinan rakyat.