TEHRAN: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa pemindahan paksa penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza merupakan sebahagian jenayah penghapusan etnik yang tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau menyuarakan pendirian itu ketika dihubungi rakan sejawatnya dari Iran, Seyyed Abbas Araghchi pada Isnin.

Menurut laporan Agensi Berita IRNA, perbincangan itu diadakan sebagai sebahagian daripada rundingan Iran dengan negara-negara lain serta pertubuhan antarabangsa mengenai perkembangan di Gaza, khususnya berhubung ancaman pemindahan etnik rakyat Palestin.

Araghchi memuji keteguhan pendirian Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, terutamanya ketika menghadapi 'perang genosid' selama 16 bulan oleh rejim Zionis.

Beliau turut mengecam rancangan pemindahan paksa penduduk Gaza yang disifatkan sebagai sebahagian daripada projek kolonial untuk menghapuskan Palestin, serta menyeru negara-negara Islam yang berpengaruh untuk mengambil pendirian tegas dan bersatu dalam menentang tindakan ini.

Dalam perbincangan itu, Araghchi turut memaklumkan kepada Mohamad Hasan mengenai rundingannya dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta beberapa negara Islam dan Arab bagi membincangkan usaha mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau menyeru Malaysia untuk menyokong inisiatif ini.

"Hassan turut mengalu-alukan cadangan Iran untuk mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam dan menyatakan komitment Malaysia terhadap mesyuarat ini", kata Araghchi.

Dalam pada itu, Araghchi turut menyatakan kepuasannya terhadap perkembangan hubungan antara Tehran dan Kuala Lumpur.

Beliau menyifatkan lawatan rasmi Mohamad Hasan ke Iran yang akan datang sebagai peluang penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

-- BERNAMA