BANDUNG: Pempengaruh Malaysia, Ammar Mohd Nazhan dan Aras pada Jumaat, tampil membuat permohonan maaf berhubung penghasilan kandungan media sosial mendakwa kehilangan teman mereka di sebuah hutan di Kota Bandung, Indonesia baru-baru ini.

Mereka juga dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh KumparanNews, melahirkan rasa kesal kerana telah menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.

"Kami ingin memohon maaf atas apa yang berlaku dan kami berjanji tidak akan mengulangi lagi," kata mereka menerusi video yang diterima kumparanNEWS.


Surat permohonan maaf pempengaruh berkenaan yang diserahkan kepada polis. - Agensi


Dalam pada itu mereka juga telah menulis surat kepada polis bagi memeterai permohonan maaf serta mengaku bahawa kandungan yang mereka hasilkan itu hanyalah lakonan semata-mata.

Sebelum ini, Ketua Polis Panyileukan, Pesuruhjaya Kurnia berkata, berdasarkan keterangan kepada polis, pempengaruh terbabit memberitahu mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada Ahad lalu menerusi TikTok dengan cerita sensasi 'pempengaruh Malaysia (gadis) hilang selama 48 jam ketika membuat kandungan mengenai aktiviti paranormal'.

"Kandungan sensasi itu dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut. Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman tegas terhadap penyebar berita palsu.

"Kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa, meskipun sudah diberi kelulusan oleh pengurus wilayah setempat," katanya seperti dilaporkan portal itu.