KES kecurian muatan trak yang membawa biji kopi mentah semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) berikutan lonjakan harga kopi ke paras tertinggi sepanjang tahun lalu.

Isu ini menjadi topik perbincangan utama dalam persidangan tahunan Persatuan Kopi Kebangsaan AS yang berlangsung di Houston pada hujung minggu lalu.

AS merupakan pengguna terbesar minuman kopi di dunia.

Oleh kerana kopi hanya dihasilkan di negara beriklim panas, hampir 100 peratus bekalan kopi di negara itu perlu diimport dan dihantar dalam jutaan beg dari pelabuhan ke kilang pemanggang, kebanyakannya melalui pengangkutan darat seperti trak.

Menurut penyelaras jualan logistik bagi Hartley Transportation, Todd Costley, sebuah syarikat perantara pengangkutan di Pembroke, New Hampshire, terdapat puluhan kes kecurian yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, kejadian seperti itu jarang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, kecurian biji kopi bukanlah sesuatu yang baharu di negara pengeluar seperti Brazil dan Vietnam, di mana kejadian biasanya berlaku di ladang yang menyimpan biji kopi selepas dituai.

Lokasi tersebut lebih terdedah kepada jenayah kerana keadaan yang terpencil.

Pada Januari lalu, sekumpulan lelaki bersenjata merompak 500 beg kopi bernilai kira-kira AS$230,000 (RM1.08 juta) dari sebuah ladang di negeri Minas Gerais, Brazil.

Di AS, kecurian ini dipercayai dilakukan oleh kumpulan jenayah terancang yang menyamar sebagai syarikat pengangkutan sah.

Costley menjelaskan bahawa kumpulan ini menawarkan harga yang lebih rendah atau ketersediaan trak segera untuk mendapatkan kontrak kecil daripada pengimport sebelum melarikan diri bersama muatan kopi.

Setiap muatan trak membawa kira-kira 19,958 kilogram biji kopi mentah, yang dianggarkan bernilai sekitar AS$180,000 (RM847,000) berdasarkan harga pasaran semasa.

Beberapa pihak percaya bahawa kumpulan penjenayah ini menjual kopi curi kepada pemanggang kecil yang terkesan akibat harga kopi yang melambung tinggi.

Sebagai langkah keselamatan, sesetengah pengimport telah mula memasang peranti penjejak pada beg kopi mereka untuk melindungi penghantaran daripada menjadi sasaran kecurian.