Langkah pendakwaan ini dibuat sehari selepas Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) menyerahkan kes itu kepada pihak pendakwaan kerana agensi tersebut tidak mempunyai mandat undang-undang untuk mendakwa seorang presiden.
Pasukan pendakwaan khas yang menyiasat undang-undang tentera itu mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tengah Seoul untuk melanjutkan tempoh tahanan Yoon sehingga 6 Feb, menurut pihak berkuasa.
Menurut undang-undang, seseorang suspek boleh ditahan selama 10 hari, dengan kemungkinan lanjutan selama 10 hari lagi. Yoon ditahan pada Ahad.
Sekiranya mahkamah meluluskan permohonan itu, pihak pendakwaan dijangka menjalankan soal siasat secara bersemuka. Namun, masih belum pasti sama ada Yoon akan bersetuju untuk bekerjasama.
Barisan pendakwaan dilaporkan sedang menyiapkan tuduhan sekiranya mahkamah menolak permohonan lanjutan itu.
Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang menyiasat Yoon atas dakwaan beliau menjadi dalang di sebalik pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Dis yang mencetuskan pergolakan politik.
Yoon berdepan dengan dakwaan bekerjasama dengan Menteri Pertahanan ketika itu, Kim Yong-hyun, dan individu lain untuk memulakan rusuhan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera.
Beliau juga berdepan tuduhan menyalahgunakan kuasa dengan menghantar tentera ke Parlimen untuk menghalang ahli-ahli Parlimen daripada menolak dekri tersebut.
Yoon kini ditahan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan Seoul, manakala perbicaraan Mahkamah Perlembagaan juga sedang dijalankan untuk menentukan sama ada untuk mengekalkan atau menolak pendakwaannya oleh Parlimen.
Sekiranya diterima, Yoon akan disingkirkan daripada jawatan, menyebabkan pilihan raya presiden diadakan dalam tempoh 60 hari. Sekiranya ditolak, beliau akan dikembalikan ke jawatan asalnya.
-- BERNAMA