Beliau berkata jika pendekatan Trump mencergaskan semula ekonomi AS, dunia boleh menyaksikan Amerika memulihkan kegemilangannya dahulu atau membawa kepada satu lagi era Pax Americana.
Bagaimanapun, jika pendekatan itu membawa kesan buruk kepada ekonomi, ia boleh mencetuskan pergolakan di dalam dan luar AS, tambah Oh semasa penampilannya sebagai tetamu menerusi aplikasi Zoom dalam program Bernama World yang disiarkan oleh Bernama TV pada Selasa.
Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-47 pada Isnin, memulakan penggal kedua yang bersejarah, menandakan perubahan besar dalam kerajaan AS yang secara meluas dijangka membawa gelombang kejutan kepada masyarakat Amerika dan dunia.
Menurut Oh, pentadbiran Trump menghantar dua isyarat segera kepada masyarakat antarabangsa: 'Amerika kembali berurusan seperti biasa' dan 'Amerika serius dalam berurusan.'
Mengenai Asia Tenggara, Oh berkata komitmen AS terhadap sekutu serantaunya seperti Filipina, Thailand dan Singapura, dijangka berterusan.
Mengulas lanjut mengenai peluang dan cabaran untuk ASEAN, yang kini dipengerusikan oleh Malaysia, beliau berkata perundingan dengan kuasa besar ASEAN lain akan diteruskan, dan blok itu akan terus melibatkan AS dalam hal strategik serta kerjasama ketenteraan.
Dari sudut ekonomi, beliau menyarankan Malaysia mempertimbangkan untuk melabur di AS kerana negara itu terbuka untuk perniagaan.
Langkah sedemikian akan menyumbang kepada Amerika yang lebih makmur dan juga Asia Tenggara.
Oh seterusnya menyatakan, memandangkan Trump seorang ahli perniagaan, prospek keamanan di bawah pentadbiran Trump adalah lebih tinggi berbanding peperangan, termasuk di Timur Tengah.
Pada hari pertama beliau memegang jawatan, Trump menandatangani beberapa tindakan eksekutif, termasuk membatalkan 78 dasar pentadbiran Joe Biden. Beliau juga menandatangani perintah eksekutif untuk memberikan pengampunan kepada hampir 1,500 individu yang didakwa dalam serangan ke atas Capitol AS pada 6 Jan 2021.
Trump mengumumkan AS akan menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menarik diri sekali lagi daripada Perjanjian Iklim Paris, perjanjian global untuk mengurangkan pelepasan karbon.
-- BERNAMA