Majlis Perbandaran Central Coast pada Selasa mengeluarkan amaran kepada penduduk di 10 kawasan, kira-kira 50 kilometer di utara Sydney bahawa bekalan air mereka berpotensi tercemar susulan keputusan ujian sampel yang mendapati kehadiran bakteria itu.
Dalam amaran yang dikemas kini pada Rabu pagi, pihak majlis memaklumkan bahawa ujian lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan keputusan itu dan pihak berkuasa kesihatan negeri New South Wales (NSW) telah dimaklumkan mengenai situasi berkenaan.
Penduduk dan premis perniagaan dinasihatkan untuk mendidihkan semua air yang digunakan untuk tujuan minuman atau penyediaan makanan.
"Air perlu dibiarkan sejuk sebelum disimpan dalam bekas bersih bertutup. Individu dengan sistem imun yang lemah perlu lebih berhati-hati," menurut kenyataan itu.
Pihak majlis turut menjelaskan bahawa air masih selamat untuk kegunaan lain seperti mandi, namun terdapat risiko jika tertelan.
Ibu bapa dan penjaga digalakkan mempertimbangkan mandian span sebagai alternatif bagi kanak-kanak.
Menurut NSW Health, beberapa jenis bakteria E. coli boleh menyebabkan jangkitan serius dan penyakit seperti pneumonia, meningitis dalam kalangan bayi baru lahir serta radang pundi hempedu.
-- BERNAMA