HANOI: Pengguna China membelanjakan kira-kira AS$70 juta untuk udang kara Vietnam pada Januari, menandakan peningkatan sembilan kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut Persatuan Pengeksport dan Pengeluar Makanan Laut Vietnam (VASEP), jumlah eksport akuatik Vietnam pada bulan itu mencapai AS$774 juta, meningkat 3 peratus tahun ke tahun.

Peningkatan ini terutamanya didorong oleh permintaan kukuh China untuk produk makanan laut segar premium, termasuk udang kara, ketam, kerang dan siput, ketika pengguna bersiap sedia untuk perayaan Tahun Baharu Cina, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Eksport udang kara ke China sahaja menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport makanan laut Vietnam ke negara itu. Selain itu, eksport ketam menyaksikan lonjakan lapan belas kali ganda, mencapai AS$18.5 juta.

Permintaan kukuh dari China ini membantu meningkatkan keseluruhan eksport udang Vietnam sebanyak 24 peratus, menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan sektor ini.

Tahun lepas, Vietnam mengeksport udang bernilai AS$843 juta ke China, meningkat 39 peratus tahun ke tahun. China mengatasi Amerika Syarikat sebagai pasaran eksport udang terbesar Vietnam, lapornya.

Menurut VASEP, udang kara Vietnam yang menyasarkan pengguna berpendapatan tinggi, mengekalkan permintaan yang stabil walaupun ekonomi China perlahan dan pengurangan perbelanjaan pengguna.

Segmen makanan laut premium yang kukuh menawarkan peluang kepada perniagaan Vietnam untuk memanfaatkan corak penggunaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan industri sepanjang tahun, menurut VNA.

-- BERNAMA