Pertumbuhan itu dilihat menawarkan peluang besar bagi inovasi, daya tahan dan penyelesaian sektor swasta yang merentas industri seperti pertanian dan infrastruktur.
"Sektor pertanian, perlombongan dan minyak dan gas, elektrik dan utiliti serta perkhidmatan kerajaan akan meraih 90 peratus daripada faedah ekonomi rantau ini, didorong oleh peningkatan penggunaan EO itu," kata kedua-dua pihak itu dalam satu kenyataan bersama sempena penerbitan laporan Space to Thrive: Southeast Asia Space Industry on The Rise.
Manfaat ekonomi merujuk kepada nilai tambah kasar kepada KDNK dan dalam konteks EO, ini menyamai sumbangan teknologi dan maklumat terbitan EO kepada KDNK melalui peningkatan produktiviti dan kos dielak seperti kerugian akibat bencana.
Pada sesi taklimat media, Ketua bersama Centre for the Edge Deloitte Asia Tenggara, Michelle Khoo berkata, Indonesia dijangka memperoleh bahagian terbesar daripada faedah ekonomi dan diikuti Vietnam, Filipina, Malaysia dan Thailand yang menikmati faedah langsung penggunaan EO.
Selain itu, Singapura susulan keterbatasan keluasan permukaannya, akan memperoleh faedah tidak langsung besar berikuan peranannya sebagai hab teknologi dan modal serantau serta penyedia penyelesaian utama untuk rantau ini.
Mengulas Malaysia, laporan itu berkata, teknologi EO dapat membantu menangani cabaran industri minyak dan gas negara seperti penggunaan teknologi pengimejan radar apertur (bukaan) sintetik (SAR) untuk mengesan tumpahan minyak dalam masa nyata.
"Data EO juga dapat mentransformasi sektor hartanah dan pembinaan Malaysia dengan mengupayakan keputusan mengikut data dalam pemilihan tapak, analisis pasaran dan pengurusan risiko.
"Dalam pembinaan pula, imejan satelit boleh menawarkan pemantauan masa nyata tapak pembinaan yang membantu pihak berkepentingan mengawasi kemajuan pembinaan tanpa perlu berada di tapak," kata laporan itu.
Sementara itu, Pengerusi SSTL, Jeremy Chan menganggap laporan itu memberi pandangan kritikal mengenai aplikasi luas teknologi angkasa lepas yang merentasi sektor pertanian, kewangan, bandar pintar dan pemantauan bencana.
"Ia turut menekankan kepentingan peranan ruang angkasa sebagai pengupaya bagi industri bukan angkasa lepas, membuka peluang komersial baharu bagi perniagaan memanfaatkan teknologi dan inovasi bidang itu," katanya.
Pelancaran laporan itu juga bersempena acara Konvensyen dan Pameran Teknologi Angkasa Global (GSTCE) 2025 yang akan diadakan pada 26-27 Feb di Ekspo Marina Bay Sands, di sini.
Chan berkata, pada acara kali ini, GSTCE bertemakan "Commercialising Space - New Frontiers in Disruptive Innovation," menyaksikan Jepun sebagai negara pilihan untuk ditampilkan selain disertai seramai 60 pempamer - jumlah yang meningkat dua kali berbanding edisi sebelumnya. - BERNAMA