Dokumen tersebut menasihati pemimpin tentera supaya mengenal pasti sesiapa yang telah didiagnosis atau menerima rawatan untuk disforia jantina.
Tarikh akhir untuk mematuhi arahan ini ditetapkan dalam tempoh 30 hari.
“Kekangan perubatan, pembedahan dan kesihatan mental terhadap individu yang mempunyai diagnosis semasa atau sejarah, atau menunjukkan gejala yang konsisten dengan disforia jantina adalah tidak sesuai dengan piawaian mental dan fizikal tinggi yang diperlukan untuk perkhidmatan ketenteraan,” kata Darin Selnick, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Pertahanan untuk personel, dalam memo tersebut.
Arahan ini dikeluarkan susulan perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang melarang individu transgender daripada berkhidmat dalam tentera - dasar yang kini sedang dicabar di mahkamah atas alasan diskriminasi.
Jumlah anggota tentera transgender yang boleh dikenal pasti melalui rekod perubatan dipercayai berjumlah ratusan, iaitu sebahagian kecil daripada hampir 2.1 juta anggota tentera di negara itu.
Lebih ramai mungkin telah menyertai perkhidmatan tentera selepas menjalani transisi dan mungkin tiada rekod perubatan dalam fail.
Namun, pengkritik bimbang mereka mungkin didedahkan oleh rakan seangkatan atau merasa tertekan untuk berhenti.
“Tiba-tiba, anda akan dikehendaki untuk mendedahkan diri anda. Orang lain pula mungkin dikehendaki untuk mendedahkan anda,” kata Sarah Warbelow, Naib Presiden Hal Ehwal Undang-undang untuk Human Rights Campaign, kepada The Associated Press.
Pada 21 Januari lalu, semasa menyampaikan ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Presiden AS bagi penggal kedua, Trump mengisytiharkan pentadbirannya akan secara rasmi mengiktiraf hanya dua jantina sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan. - Agensi
