TEHRAN: Dua hakim veteran Mahkamah Agung Iran yang terkenal kerana menangani kes-kes berprofil tinggi, telah ditembak mati di ibu negara itu oleh seorang penyerang yang kemudian membunuh dirinya sendiri.

Pejabat media kehakiman, seperti yang dilaporkan oleh media yang berkaitan dengan kerajaan berkata, penyerang tersebut tidak mempunyai kes undang-undang tertunggak.

Butiran kejadian juga masih belum jelas, namun pejabat kehakiman Iran mendakwa, penyerang tersebut membunuh dua hakim kanan itu dalam satu "pembunuhan terancang" di dalam mahkamah sebelum cuba melarikan diri dan akhirnya mengambil nyawanya sendiri.

Dalam serangan itu juga, seorang pengawal keselamatan cedera menurut jurucakap kehakiman Asghar Jahangir, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Mizan.

Hakim Mohammad Moghiseh dan Hakim Ali Razini merupakan tokoh keadilan yang telah selama beberapa dekad mengetuai mahkamah yang mengadili penunjuk perasaan, artis, dan aktivis.

Moghiseh dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2019 kerana mengendalikan "banyak perbicaraan yang tidak adil dengan tuduhan tidak berasas dan bukti tidak diendahkan."

Beliau juga dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah lapan tahun sebelumnya.

Dalam satu kes sahaja, beliau menjatuhkan hukuman penjara gabungan 127 tahun kepada lapan pengguna Facebook Iran atas tuduhan publisiti anti-rejim dan menghina agama.

Beliau juga pernah mengadili pembikin filem dan penyair atas dakwaan “propaganda terhadap negara,” menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada tahun 2019, beliau menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 148 sebatan terhadap peguam hak asasi manusia Iran yang terkenal, Nasrin Sotoudeh, seperti yang dilaporkan oleh Amnesty International.

Sementara itu, Razini pernah terselamat dalam percubaan pembunuhan pada tahun 1999 setelah sebuah bom diletakkan pada kenderaannya, menurut agensi berita Fars Iran.

Bersama bekas Presiden Ebrahim Raisi, beliau dituduh sebagai salah seorang hakim yang terlibat dalam

“Suruhanjaya Kematian” - sebuah jawatankuasa yang dikaitkan dengan pengadilan dan pelaksanaan hukuman mati terhadap ribuan tahanan politik pada tahun 1988. - Agensi