SEOUL: Puluhan penunjuk perasaan menyerbu sebuah bangunan mahkamah di Seoul awal pagi Ahad selepas Mahkamah melanjutkan tempoh penahanan Presiden Yoon Suk Yeol sehingga 20 hari.

Yoon ditangkap selepas berdepan tuduhan pemberontakan berkaitan pengisytiharan darurat tentera yang mengejutkan pada 3 Disember tahun lalu sekali gus mencetuskan kekacauan politik di negara itu.

Dalam pada itu, kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan itu tercetus apabila penyokong Yoon menyerbu bangunan tersebut sekali gus merempuh pihak polis yang cuba menghalang mereka.

Rakaman menunjukkan penunjuk perasaan menyembur pemadam api ke arah anggota polis yang menjaga pintu masuk utama, sebelum mereka memecahkan tingkap dan melemparkan objek keras.

Mahkamah Korea Selatan sambung tempoh tahanan Yoon 20 hari


Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan berjaya mengawal keadaan dan menangkap 46 penunjuk perasaan setakat ini.

Yoon menjadi presiden Korea Selatan pertama yang ditahan ketika masih memegang jawatan susulan tuduhan pemberontakan.

Selepas tempoh penahanan awal 48 jam tamat, penyiasat Korea Selatan memohon Mahkamah di Seoul pada Jumaat untuk melanjutkan tempoh penahanan selepas Yoon enggan disoal siasat. 

Mahkamah daerah barat Seoul sebelum itu meluluskan waran penahanan yang diminta oleh pejabat penyiasatan rasuah untuk pegawai kanan (CIO).   

Di bawah waran baharu ini, Yoon boleh ditahan sehingga 20 hari. -- Agensi