WASHINGTON: Puluhan penyokong Ukraine mengadakan tunjuk perasaan di luar perkarangan Rumah Putih di Lafayette Square pada Sabtu bagi mendesak Amerika Syarikat (AS) terus menyokong negara itu .
 
Penunjuk perasaan turut mengecam layanan Presiden AS, Donald Trump terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dan dalam masa sama terkejut dengan insiden pertikaman lidah kedua-dua pemimpin dalam satu pertemuan beberapa hari lalu selain menyifatkannya sebagai satu hal yang memalukan.

Zelenskiy berada di Washington pada Jumaat untuk menandatangani perjanjian mengenai mineral nadir bumi serta mengekalkan hubungan baik dengan Trump.

Pemimpin Ukraine itu melihat pertemuannya dengan Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance, sebagai peluang untuk meyakinkan Amerika agar tidak berpihak kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, dalam perang negara itu dengan Moscow. 

Namun, sebaliknya berlaku apabila Zelenskiy diarahkan keluar dari sesi itu dan perjanjian itu tidak ditandatangani.  

Konfrontasi pada Jumaat tercetus akibat perbezaan pandangan mengenai cara untuk menamatkan pencerobohan Rusia yang telah berlarutan selama tiga tahun, dengan Zelenskiy mencari jaminan keselamatan yang kukuh daripada pentadbiran Trump. - Agensi