BANGKOK: Perdagangan sempadan dan transit Thailand bernilai 145 bilion baht pada Januari, meningkat 2.7 peratus daripada angka tahun sebelumnya, kata Timbalan Jurucakap Kerajaan Sasikan Watthanachan pada Ahad. (100 baht = RM13.05).

Beliau berkata eksport meningkat 3.8 peratus kepada 78.037 bilion baht, manakala import naik 1.5 peratus kepada 67.102 bilion baht, menjadikan lebihan perdagangan sebanyak 10.935 bilion baht.

"Pecahan perdagangan sempadan dengan negara jiran -- Laos, Malaysia, Myanmar dan Kemboja -- menunjukkan jumlah nilai perdagangan 83.797 bilion baht, meningkat 1.7 peratus.

"Ini terdiri daripada eksport bernilai 50.528 bilion baht (naik 0.7 peratus) dan import bernilai 33.269 bilion baht (meningkat 3.3 peratus), dengan Thailand mencapai lebihan perdagangan sebanyak 17.26 bilion baht," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Laos menyumbang nilai perdagangan tertinggi sebanyak 25.228 bilion baht, diikuti Malaysia (24.256 bilion baht), Myanmar (18.821 bilion baht), dan Kemboja (15.492 bilion baht).

Sasikan berkata produk eksport utama termasuk diesel (4.209 bilion baht), produk petroleum bertapis (1.622 bilion baht), dan produk perindustrian pertanian lain (1.323 bilion baht).

Beliau berkata perdagangan sempadan dan transit yang kukuh pada awal 2025 meneruskan momentum pertumbuhan dari 2024, terutama dengan eksport ke China, yang melonjak 18.0 peratus.

"Kerajaan terus komited untuk merangsang dan meningkatkan kerjasama perdagangan dengan negara jiran dan rakan antarabangsa bagi mewujudkan peluang ekonomi kepada perniagaan Thailand. Tambahan pula, kami menyokong langkah untuk meningkatkan kecekapan logistik dan perdagangan sempadan," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perdagangan sempadan Thailand-Myanmar dijangka menghadapi gangguan pada Februari susulan tindakan keras yang dilaksanakan ke atas operasi pusat panggilan di sepanjang sempadan, yang mungkin menjejaskan eksport diesel dan petroleum ditapis.

-- BERNAMA