CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan rombakan kabinet pada Khamis susulan persaraan awal seorang menteri menjelang pilihan raya umum yang harus diadakan sebelum Mei, lapor Xinhua.

Albanese menyifatkan perubahan dalam kabinet ini sebagai langkah untuk memastikan kerajaan terus "kuat, bersatu dan stabil" selepas peletakan jawatan Bill Shorten sebagai Menteri Skim Insurans Hilang Upaya Nasional (NDIS) dan Perkhidmatan Kerajaan.

Menteri Perkhidmatan Sosial Amanda Rishworth akan memegang portfolio tambahan sebagai Menteri NDIS, salah satu portfolio yang sebelum ini dikendalikan oleh Shorten. Anne Aly pula dilantik sebagai Menteri Pembantu kepada Menteri NDIS.

Selain itu, Menteri Kewangan Katy Gallagher akan mengambil portfolio tambahan sebagai Menteri Perkhidmatan Kerajaan, satu lagi portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Shorten.

Menteri Penjagaan Warga Emas dan Sukan, Anika Wells, turut dinaikkan pangkat ke dalam Kabinet, menurut pengumuman Albanese.

Majlis angkat sumpah akan diadakan di Canberra pada Isnin depan dengan gabenor jeneral dijadual mengesahkan perubahan tersebut.

Selepas 17 tahun berkhidmat di parlimen termasuk enam tahun mengetuai Parti Buruh Australia, Shorten akan dilantik sebagai naib canselor di Universiti Canberra.

Mengulas mengenai persaraannya lebih awal daripada jangkaan, Shorten memberitahu Australian Broadcasting Corporation yang keputusan itu tepat pada masanya, membolehkan perdana menteri melantik menteri baharu dan membentuk pasukan menjelang pilihan raya sebelum Parlimen bersidang semula pada 4 Feb.

-- BERNAMA