ISTANBUL: Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic mengumumkan peletakan jawatannya pada Selasa berikutan protes besar-besaran selama berbulan-bulan yang tercetus ekoran runtuhan kanopi konkrit yang mengorbankan nyawa November lalu.

"Ini adalah keputusan saya tanpa syarat untuk meletakkan jawatan," kata Vucevic dalam satu sidang media, lapor Agensi Anadolu (AA).

Peletakan jawatan Vucevic itu berlaku hanya sehari selepas penunjuk perasaan, yang disokong oleh petani, menyekat persimpangan lalu lintas utama di Belgrade sebagai sebahagian daripada protes sepanjang hari.

Gelombang demonstrasi bermula sebagai tindak balas kepada runtuhnya kanopi stesen kereta api di Novi Sad pada 1 Nov yang mengakibatkan 15 orang maut.

Penunjuk perasaan menuduh kerajaan cuai dan terlibat dalam amalan rasuah, menjadikannya bertanggungjawab atas tragedi itu. Tuntutan mereka semakin meluas, termasuk seruan untuk ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.

Pada Isnin, ribuan pelajar menyekat persimpangan jalan utama di ibu negara Serbia, ketika penunjuk perasaan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan.

Peletakan jawatan Vucevic ini dijangka membawa kepada perkembangan politik penting, termasuk kemungkinan pilihan raya parlimen lebih awal. Parlimen Serbia kini mempunyai 30 hari untuk sama ada mengesahkan kerajaan baharu atau mengumumkan pilihan raya kilat.

-- BERNAMA