Ini selepas 15 bulan konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan memburukkan keadaan di Asia Barat.
Menurut laporan Reuters, perjanjian yang kompleks ini menetapkan fasa awal gencatan senjata selama enam minggu, termasuk penarikan balik secara berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza serta pembebasan tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang ditahan Israel.
Dalam sidang media di Doha, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, memaklumkan bahawa gencatan senjata akan berkuat kuasa pada Ahad.
Beliau menyatakan rundingan sedang berlangsung dengan Israel dan Hamas untuk melaksanakan perjanjian tersebut.
"Perjanjian ini akan menghentikan pertempuran di Gaza, mempercepat bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan rakyat Palestin dan menyatukan semula tebusan dengan keluarga mereka selepas lebih 15 bulan ditahan," kata Presiden AS Joe Biden di Washington.
Rakyat Palestin menyambut perjanjian ini dengan kegembiraan di jalan-jalan Gaza, walaupun mereka masih berdepan krisis kemanusiaan yang teruk dengan kekurangan bekalan makanan, air dan bahan api.
Perjanjian ini adalah hasil rundingan panjang dan sukar yang dijalankan oleh perantara dari Mesir dan Qatar dengan sokongan AS, serta dimeterai sebelum perasmian Presiden AS yang baharu, Donald Trump, pada 20 Januari.
Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, turut menyambut baik perjanjian ini melalui satu hantaran di platform X (dahulu Twitter).
Jika berjaya, fasa awal gencatan senjata ini akan menghentikan pertempuran yang telah meranapkan banyak kawasan bandar di Gaza dan menyebabkan hampir keseluruhan penduduk seramai 2.3 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Fasa pertama perjanjian ini melibatkan pembebasan 33 tebusan Israel, termasuk semua wanita, kanak-kanak dan lelaki berusia lebih 50 tahun.
Pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri, menyatakan bahawa perjanjian ini adalah "satu pencapaian besar."
Kumpulan itu telah memberikan kelulusan kepada perantara untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata ini dan pembebasan tebusan.
Di Israel, pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyebut bahawa Hamas telah menggugurkan permintaan saat akhir mereka, namun terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan dalam perjanjian ini.
"Kami berharap butirannya akan diselesaikan malam ini," menurut kenyataan itu.
Tentera Israel menyerang Gaza selepas serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023 yang menyebabkan kematian 1,200 tentera dan orang awam Israel serta penculikan lebih 250 tebusan.
Serangan Hamas dilakukan selepas berdekad lamanya rejim Zionis melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Sejak itu, serangan udara dan darat Israel di Gaza telah meragut lebih 46,000 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Ratusan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal kini berdepan musim sejuk di khemah dan tempat perlindungan sementara.