COPENHAGEN (Denmark): Buat pertama kalinya dalam sejarah Denmark, dua individu telah didakwa atas layanan yang tidak wajar terhadap kitab suci agama selepas didakwa tidak menghormati al-Quran, pendakwa raya mengumumkan pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

"Pendakwa Raya di Copenhagen telah membawa kes pertama pelanggaran Seksyen 110e(2) Kanun Jenayah Denmark mengenai layanan yang tidak wajar terhadap kitab suci agama," menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.

Pertuduhan itu dibuat selepas Menteri Kehakiman Denmark meluluskan cadangan untuk meneruskan kes itu, tambah kenyataan tersebut.

Menurut pendakwa raya, kejadian yang didakwa berlaku pada 15 Jun 2024, semasa Pesta Rakyat di pulau Bornholm.

Suspek dilaporkan melakukan perlakuan tidak wajar terhadap al-Quran di dalam khemah, sama ada secara terbuka atau dengan niat untuk berkongsi perbuatan itu dengan khalayak yang lebih luas.

"Penilaian kami adalah bahawa, berkaitan acara semasa Pesta Rakyat, layanan yang tidak wajar terhadap al-Quran telah berlaku, dan ia berlaku di khalayak ramai, kerana ia dihadiri oleh beberapa orang dan juga merebak ke kalangan yang lebih luas dengan dirakam dan disiarkan secara langsung melalui Facebook," menurut kenyataan itu.

Pendakwa Raya Lise-Lotte Nilas mengesahkan bahawa denda telah dicadangkan untuk suspek.

Kes itu telah dikemukakan kepada Mahkamah Bornholm untuk penjadualan, tetapi tarikh mahkamah masih belum ditetapkan. - BERNAMA