SYDNEY: Ketika suhu global terus meningkat akibat perubahan iklim, bandar-bandar dijangka berdepan risiko kebakaran yang semakin meningkat, menurut penyelidik Australia dan antarabangsa pada Selasa, lapor Xinhua.

Satu kajian pemodelan baharu yang diterbitkan dalam Nature Cities meramalkan, jenis kebakaran tertentu di kawasan bandar akan menjadi lebih kerap dalam dekad-dekad akan datang.

Penyelidik menganggarkan bahawa secara global, trend ini boleh menyebabkan tambahan 330,000 kematian akibat kebakaran dan lebih sejuta kecederaan antara 2020 hingga 2100.

Bagaimanapun, jika pemanasan global dapat dihadkan di bawah 1.5 darjah Celsius, jumlah kematian boleh dikurangkan sehingga separuh.

Bagi membuktikan kaitan ini, pasukan penyelidik antarabangsa menganalisis kejadian kebakaran serta suhu udara bulanan tertinggi di lebih 2,800 bandar merentasi 20 negara, termasuk Amerika Syarikat, China, Australia dan Britain, yang mewakili lebih 20 peratus populasi dunia.

Dapatan ini boleh digunakan untuk perancangan bandar masa depan serta strategi tindak balas kecemasan.

Penyelidik turut mengukur bagaimana kekerapan pelbagai jenis kebakaran bandar - seperti kebakaran bangunan, kebakaran kenderaan dan kebakaran luar di lokasi seperti tapak pelupusan sampah - berubah mengikut peningkatan suhu bagi menilai kesan pemanasan global terhadap pelbagai jenis kebakaran bandar.

Di bawah senario pelepasan gas rumah hijau yang tinggi, kebakaran kenderaan boleh meningkat sebanyak 11.6 peratus, kebakaran luar meningkat 22.2 peratus, manakala kebakaran bangunan dijangka berkurangan sebanyak 4.6 peratus menjelang 2100, menurut penyelidik dari Universiti Sains dan Teknologi China, Universiti RMIT Melbourne, Universiti Maritim Shanghai dan Universiti Charles Darwin, antara lain.

Mereka juga menganggarkan pemanasan global boleh menyumbang kepada kira-kira 335,000 kematian berkaitan kebakaran dan 1.1 juta kecederaan di semua bandar yang dianalisis antara 2020 dan 2100.
- BERNAMA