MOSCOW: Ribuan petani berhimpun di pusat bandar London pada Selasa bagi mengadakan satu lagi protes terhadap perubahan cukai warisan, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar United Kingdom (UK), Independent.

Demonstrasi yang bermula dari Whitehall menuju ke Parlimen itu berlangsung pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan (1200 GMT), menurut laporan berkenaan.

Protes kali ini diadakan kebanyakannya dengan berjalan kaki, selepas pihak polis mengehadkan jumlah traktor yang dibenarkan masuk berikutan gangguan lalu lintas yang berlaku dalam demonstrasi terdahulu.

Pada November lepas, lebih 10,000 petani berdemonstrasi di pusat bandar London bagi membantah pelaksanaan cukai baharu itu. Beberapa ahli politik UK, termasuk bekas Perdana Menteri Boris Johnson dan Liz Truss, turut menyuarakan sokongan kepada petani.

Perbendaharaan UK sebelum ini mengumumkan cukai sebanyak 20 peratus ke atas tanah pertanian warisan yang bernilai lebih GBP1 juta (AS$1.3 juta). Peraturan baharu itu dijangka memberi kesan kepada 500 ladang, melibatkan sebilangan kecil petani, namun Kesatuan Petani Kebangsaan menganggarkan cukai itu akan menjejaskan 66 peratus ladang di UK.

Perubahan ini dijadual berkuat kuasa pada April 2026. - BERNAMA