BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand mengakui berdepan kesulitan untuk membezakan mangsa sebenar dan juga pelaku sindiket penipuan daripada kalangan 119 warganya yang dibebaskan dari pusat panggilan kontroversi di Kemboja, yang dihantar pulang ke Negara Gajah Putih itu pada Sabtu.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, polis Thailand menghadapi cabaran untuk menyaring mangsa sebenar pemerdagangan manusia, dengan mereka yang pergi ke Kemboja secara sukarela untuk terlibat dalam sindiket itu.

Ketua Polis di Biro Penyiasatan Jenayah Siber (CCIB) Trairong Phiewphan, pada Ahad memberitahu, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci untuk memeriksa latar belakang individu-individu yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

Sementara itu, pihak berkuasa Kemboja pula menyatakan bahawa kesemua mereka tiba secara sukarela untuk terlibat dalam aktiviti haram, malah telah dilabel sebagai suspek jenayah.

Trairong berkata, maklumat awal daripada sistem pangkalan data jenayah menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh daripada 119 orang itu mempunyai waran tangkap membabitkan 11 kes, antaranya kesalahan dadah dan penipuan.

Sejumlah 10 orang daripada 119 orang itu juga, termasuk tujuh yang pertama, pernah dinamakan sebagai suspek dalam 46 kes polis.

"Jika mereka terbukti sebagai penjenayah, mereka akan berdepan pendakwaan penipuan, keterlibatan dengan sindiket jenayah rentas sempadan serta pengubahan wang haram.

"Aset mereka akan dijejak, dirampas dan dilelong untuk mendapatkan wang untuk dipulangkan kepada mangsa mereka," ujar Trairong.

Terdapat juga 121 telefon bimbit yang dirampas daripada kumpulan tersebut, yang boleh menjadi bukti penting dalam siasatan.

Media Kemboja sebelum ini melaporkan, adalah 'aneh' sekiranya 119 warga Thailand itu memilih untuk melarikan diri dari pihak berkuasa Kemboja semasa operasi pembanterasan dijalankan, berbanding meminta bantuan jika benar mereka adalah mangsa.

Lebih daripada itu, lazimnya, mangsa sindiket seumpamanya tidak akan memiliki telefon bimbit kalau benar mereka menjadi mangsa dalam sindiket pemerdagangan manusia.