Dengan Sungai Yamuna yang tercemar akibat sisa kumbahan dan sisa industri serta isu kos sara hidup yang semakin membebankan isi rumah, parti politik utama yang bersaing untuk mentadbir Delhi bagi tempoh lima tahun akan datang telah menawarkan pelbagai penyelesaian, selain menarik perhatian 15.5 juta pengundi di bandar itu dengan pelbagai pemberian percuma.
Lebih 13,000 pusat mengundi akan dibuka di seluruh bandar bagi membolehkan pengundi memilih 70 anggota dewan negeri yang baharu.
Parti Aam Aadmi (AAP) yang diketuai bekas Ketua Menteri, Arvind Kejriwal telah mentadbir negeri itu sejak 2015 dan kini berdepan cabaran sengit daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Parti Kongres Kebangsaan India, yang pernah mentadbir Delhi dari 1998 hingga 2013, turut memberi saingan hebat dalam pilihan raya kali ini.
Sementara itu, parti All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) yang diketuai Ahli Parlimen Hyderabad, Asaduddin Owaisi turut bertanding dengan meletakkan calon di dua kawasan yang mempunyai ramai pengundi Muslim.
AIMIM menampilkan aktivis hak asasi manusia Shifa-ur-Rehman, 48, di kawasan Okhla serta bekas ahli majlis AAP, Tahir Hussain, 55, di Mustafabad.
Kedua-duanya bertanding dari dalam penjara selepas ditahan berhubung rusuhan Delhi 2020 yang dikaitkan dengan protes terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA).
Memandangkan komuniti Muslim melihat mereka sebagai tahanan politik, kedua-dua calon dijangka meraih undi simpati yang tinggi.
Dengan tempoh parol yang singkat, mereka bergantung kepada penyokong dan ahli keluarga untuk meneruskan kempen.
Kejriwal, yang memperoleh kemenangan besar dengan 67 kerusi pada 2015 dan 62 kerusi pada 2020, kini menawarkan pelbagai pemberian percuma, termasuk 200 unit elektrik percuma dan 20,000 liter air percuma bagi setiap keluarga setiap bulan, bagi meningkatkan sokongan terhadap AAP.
Selain itu, AAP turut menekankan penambahbaikan dalam sektor pendidikan dan pembukaan klinik kejiranan untuk menarik pengundi di kawasan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, walaupun masih mendapat sokongan kuat di kawasan miskin, imej Kejriwal sedikit terjejas selepas beliau serta beberapa pemimpin kanan AAP ditahan dalam kes rasuah berkaitan dasar penjualan arak di Delhi.
Dalam kempen kali ini, AAP menumpukan kepada manfaat langsung yang telah diberikan sepanjang 10 tahun pentadbirannya, termasuk tambang bas percuma untuk wanita dan pelajar serta bayaran bulanan 2,100 rupee kepada setiap wanita - yang menurut Kejriwal bernilai kira-kira 25,000 rupee (US$287) sebulan.
Parti Kongres pula meningkatkan daya tarikan kempen dengan menjanjikan bayaran bulanan 2,500 rupee kepada setiap wanita, insurans kesihatan sehingga 2.5 juta rupee, 300 unit elektrik percuma, satu tong gas memasak bersubsidi setiap bulan pada kadar 500 rupee serta program latihan dengan elaun bulanan 8,500 rupee kepada golongan belia.
BJP, yang mentadbir India sejak 2014, turut membuat pelbagai janji besar termasuk pembangunan pesat di Delhi, pendidikan percuma dari peringkat tadika hingga pascasiswazah, bayaran tunai 2,500 rupee kepada wanita setiap bulan, insurans kesihatan sehingga 1 juta rupee, satu tong gas bersubsidi setiap bulan serta pencen warga emas sehingga 3,000 rupee sebulan.
Parti-parti bertanding juga menjanjikan kemudahan menunaikan ibadah kepada warga emas Hindu.
Banjiran janji pemberian percuma ini menyebabkan ramai pengundi bimbang akan impaknya dan dijangka menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya.
BJP telah menggunakan kelebihannya sebagai parti pemerintah di peringkat nasional dalam usaha menumbangkan AAP.
Bagaimanapun, AAP menjalankan kempen yang kompetitif dengan menumpukan kepada isu-isu yang paling penting bagi penyokongnya.
Sekiranya Parti Kongres memperoleh jumlah undi yang signifikan, ia boleh menjadikan pilihan raya ini pertarungan sengit antara AAP dan BJP, sekali gus menambah unsur ketidakpastian dalam persaingan.
Keputusan pilihan raya akan diketahui pada 8 Feb apabila undi dikira. - BERNAMA